Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Bandar Kuching mahu kucing mati di Unimas dibedah siasat
Diterbitkan:  Apr 21, 2025 6:03 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, dilihat tidak yakin dengan penjelasan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang menafikan penglibatan manusia dalam insiden kematian seekor anak kucing yang ditemui di kawasan kampus itu.

Kelvin menggesa Unimas supaya membenarkan pakar veterinar dari luar serta pihak berkuasa berkaitan menjalankan bedah siasat ke atas haiwan tersebut, yang kini telah dikebumikan.

Ahli parlimen DAP itu berkata siasatan perlu melibatkan pihak berkuasa berkaitan dan disertai pihak lain termasuk NGO.

“Saya amat terganggu dan bimbang dengan insiden ini. Kecederaan yang mengerikan termasuk apa yang kelihatan seperti keratan anggota menimbulkan persoalan serius tentang keadaan dan cara perbuatan ini dilakukan,” katanya seperti dipetik.

Yii mendakwa kurangnya ketelusan dalam proses siasatan, tindakan menyorok bukti penting seperti rakaman video, serta ketiadaan siasatan bebas telah menjejaskan keyakinan orang ramai.

Dia turut mendakwa seorang pakar veterinar menyatakan bahawa jenis kecederaan tersebut menunjukkan kemungkinan besar ia dilakukan manusia.

“Penyataan bahawa haiwan lain, termasuk kucing jantan, bertanggungjawab ke atas perbuatan itu tanpa pengesahan forensik yang menyeluruh adalah sangat dipertikaikan,” katanya.

Yii berkata universiti tersebut perlu menjunjung prinsip ketelusan dan menyerahkan semua bukti berkaitan kepada pihak berkuasa, termasuk rakaman CCTV dan kenyataan saksi, bagi membolehkan siasatan bebas dilakukan.

Menurutnya, insiden ini menunjukkan keperluan mendesak untuk kerajaan Sarawak menggubal undang-undang berkaitan kebajikan haiwan.

“Tidak seperti Semenanjung Malaysia dan Sabah yang tertakluk kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015, Sarawak kini masih menggunakan ordinan negeri yang tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan dan tindakan hukuman yang mencukupi terhadap kekejaman ke atas haiwan,” katanya.

Sebelum ini, unit komunikasi korporat Unimas menjelaskan kematian seekora anak kucing di Kolej Kediaman Allamanda itu bukan disebabkan penderaan manusia, berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh unit keselamatannya.

Siasatan tersebut melibatkan temubual dengan saksi, semakan rakaman CCTV, serta analisis gambar dan video dari lokasi kejadian.

Perkara itu mendapat perhatian umum selepas satu hantaran di media sosial tersebar memaparkan gambar mengerikan seekor anak kucing yang dikerat.

Hantaran tersebut mendakwa bangkai anak kucing itu ditemui berhampiran kawasan kediaman universiti dan menyatakan haiwan itu mungkin telah dibunuh dengan sengaja.

Unimas kemudiannya memaklumkan universiti itu sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah persatuan bagi memantau kebajikan haiwan terbiar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS