Seorang lagi warga asing ditahan ketika cuba menyeludup keluar hidupan liar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kurang seminggu selepas insiden serupa dikesan.
"Pada 20 April 2025 (semalam), hasil maklumat risikan dan tindakan pantas pasukan Perhilitan bersama Polis Bantuan KLIA, seorang lelaki warganegara India telah ditahan ketika cuba menyeludup keluar hidupan liar melalui penerbangan ke Tiruchirapalli, India.
"Antara hidupan liar yang disita ialah 1 ekor disyaki Ungka Tangan Hitam dan 6 ekor disyaki Kura-kura Red-eared Slider,” kata Perhilitan pada satu kenyataan hari ini.
Lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang permit untuk membawa keluar haiwan tersebut, dan kini ditahan untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Hanya beberapa hari lalu, pada 15 April, pihak berkuasa KLIA turut menggagalkan cubaan serupa melibatkan seorang lagi lelaki warga negara India yang juga dalam perjalanan ke Tiruchirappalli, Tamil Nadu.
Pemeriksaan terhadap bagasinya ketika itu menemui tiga ekor kura-kura sulcata dari Afrika, empat ekor kura-kura hutan Sulawesi dan tujuh ekor biawak harlequin.
Nilai haiwan yang cuba diseludup dianggarkan sekitar RM13,000.
KLIA hab transit utama
Perhilitan sebelum ini beberapa kali mengeluarkan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam pemilikan haram atau penyeludupan hidupan liar dan menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah.
Orang awam digalakkan membantu usaha penguatkuasaan dengan melaporkan aktiviti perdagangan haram atau penyeludupan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau laman web rasmi jabatan itu.

Malaysia dikenal pasti antara hab transit utama bagi penyeludupan spesies terancam ke seluruh Asia.
Susulan peningkatan kes, Menteri Pengangkutan Anthony Loke bulan lalu menegur Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan menggesa langkah segera diambil untuk membanteras penyeludupan hidupan liar di KLIA.
Katanya pengendalian bagasi daftar masuk merupakan tanggungjawab perkhidmatan pengurusan bagasi MAHB, bukan Jabatan Kastam.
