Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Razman beri kata dua kepada Ketua Pemuda DAP
Diterbitkan:  Apr 21, 2025 2:09 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria, memberikan tempoh selama 24 jam kepada exco negeri berkenaan untuk meminta maaf atas tindakannya menghasilkan karikatur wakil rakyat PAS berkenaan.

Menurut Razman tindakan diambil Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina itu sangat dikesali dan sepatutnya ditarik balik dari media sosial secepat mungkin.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol menambah hantaran karikatur oleh Woo Kah Leong menunjukkan dia sebagai seorang badut itu sangat provokatif.

"Saya dengan ini menuntut permohonan maaf di Dewan Negeri Perak hari ini oleh Ketua DAPSY (Pemuda DAP), Woo Kah Leong, yang merupakan Exco Perak khususnya dalam ucapan penggulungan dan menarik balik kandungan tersebut didalam Facebook secepat mungkin," katanya dalam hantaran di Facebook.

Razman - yang digantung oleh DUN Perak selama enam bulan dan sebelum itu didakwa direhatkan daripada jawatan Pesuruhjaya PAS Perak - menegaskan langkah diambol Woo merupakan kesalahan mengikut Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Woo Kah Leong

Kata Razman, jika Woo gagal membuat permohonan maaf selepas tempoh yang diberikan hari ini tamat, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli politik terbabit.

"Walaupun saya tiada di dalam dewan atas keputusan jawatankuasa hak dan kebebasan yang bertindak mengantung saya selama enam bulan, saya akan sentiasa 'memerhati' dan berkomunikasi secara dekat dan terus melalui platform atas talian," katanya.

Pada 16 April lalu DUN Perak menggantung Razman selama enam bulan, berkuat kuasa serta-merta kesan daripada usul yang dibawa Ong Boon Piow (PH-Bercham) dan disokong oleh Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup).

Penggantungan itu dibuat selepas majoriti anggota DUN pada persidangan hari itu bersetuju terhadap usul berkenaan.

Terdahulu Razman dirujuk ke badan tersebut pada 4 Dis tahun lepas atas dakwaan memfitnah dan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Kata Razman, dia hairan melihat sikap yang ditunjukkan DAP apabila pengerusi parti itu untuk Perak, Nga Kor Ming, yang menegur pembangkang kerana membawa karikatur mempersenda pemimpin kerajaan pada hari penamaan calon PRK Ayer Kuning di Tapah.

Hal itu kerana, kata Razman, Nga sendiri gagal memberikan nasihat sama kepada Woo.

“Inilah orang kata cakap tak serupa bikin. Orang lain tak boleh (buat), dia buat boleh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS