Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Ayer Kuning: 500 anggota polis bersama pasangan undi awal esok
Diterbitkan:  Apr 21, 2025 1:17 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Seramai 500 anggota polis bersama pasangan masing-masing akan mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, esok.

Penolong Pegawai Pengurus (Undi Awal) PRK tersebut, Mohammad Shahir Mohammad berkata sebanyak tiga saluran akan dibuka di dua pusat pengundian, iaitu Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, dan Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

Beliau berkata pusat pengundian awal di Batalion 3 PGA dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang, manakala pengundian di IPD Tapah akan ditutup pada pukul 12 tengah hari.

“Proses pengundian awal esok akan melibatkan seramai 18 petugas, termasuk tiga anggota polis pengiring,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan semakan peralatan dan peti undi awal di pusat pengumpulan undi di Dewan Merdeka di Tapah hari ini.

Mohammad Shahir berkata sebanyak 82 anggota polis akan mengundi secara pos.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.

PRK tersebut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS