Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mara kembali hantar pelajar ke al-Azhar dalami bidang perubatan
Diterbitkan:  Apr 21, 2025 12:35 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal menyambung semula penajaan pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang perubatan serta pergigian di Universiti al-Azhar Mesir tidak lama lagi.

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan berkenaan diambil selepas universiti tersohor itu bersetuju mengurangkan yuran pengajian mereka kira-kira 43 peratus iaitu daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000 untuk tempoh lima tahun.

Katanya kejayaan mengurangkan jumlah bayaran tersebut tercapai hasil rundingan yang diadakan bersama pihak pengurusan al-Azhar sejak empat bulan lalu dan keputusannya disahkan secara rasmi hari ini.

“Insya-Allah saya akan mengarahkan Mara segera siapkan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk diangkat kepada majlis jemaah menteri untuk membolehkan Mara kembali menaja pelajar Melayu-bumiputera menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar,” katanya di Facebooknya hari ini.

Asyraf Wajdi turut menjelaskan tiga sebab utama mengapa Universiti al-Azhar dipilih kembali sebagai destinasi pengajian dalam bidang kritikal seperti perubatan dan pergigian Mara.

Katanya jika yuran dan kos pembiayaan penghantaran pelajar ke universiti itu lebih murah berbanding kebanyakan institusi pengajian tinggi swasta dalam negara, lebih ramai pelajar boleh dibiayai untuk menjadi doktor dan doktor gigi.

Tambahan pula, katanya, bidang pengajian berkenaan yang ditawarkan Universiti al-Azhar diiktirah oleh Persatuan Perubatan Malaysia MMA.

“Pelajar-pelajar pula bukan sahaja akan menekuni bidang-bidang terbabit tetapi juga wajib mengambil subjek-subjek fikah yang terkait dengan perubatan.

“Pelajar-pelajar juga dikehendaki menghafaz sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran,” katanya.

Dia yang juga Setiausaha Agungn Umno menjelaskan keputusan untuk menghidupkan semula program penghantaran pelajar ke Mesir selari dengan aspirasi Mara serta saranan Ahmad Zahid yang mahu agensi berkenaan melahirkan generasi golongan profesional yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik bahkan berteraskan nilai Islam.

“Ini semua seiring dengan matlamat kami di Mara sebagaimana saranan Datuk Seri Ahmad Zahid yang mahu melahirkan generasi ulul albab,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS