Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jakim kaji kenyataan Hadi kemenangan politik lagi utama dari haji
Diterbitkan:  Apr 21, 2025 10:38 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini sedang meneliti kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang mendakwa mengundi untuk memastikan kemenangan politik Islam lebih utama daripada menunaikan ibadah haji.

Dalam satu kenyataan yang tidak menyebut nama Hadi secara langsung tetapi merujuk kepada laporan media mengenai kenyataan tersebut, Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, berkata kajian ini bertujuan memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah haji dan umrah dalam Islam.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil maklum berhubung kenyataan yang dilaporkan media bertajuk “PRK Ayer Kuning: Kemenangan politik lebih utama daripada tunai umrah, haji”.

"Bagi memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah umrah dan haji dalam Islam serta menghayatinya berdasarkan panduan syarak serta tidak disalah tafsir, Jakim sedang dalam tindakan meneliti kenyataan tersebut bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berautoriti berkaitan.

"Jakim menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," kata pihak berkuasa agama Islam itu.

Ibadah haji, bagi mereka yang mampu dari segi kewangan dan fizikal, salah satu rukun Islam.

Kenyataan Hadi Awang mengundang reaksi pelbagai pihak. Pemimpin Amanah Mujahid Yusof Rawa menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas dalam Islam dan dibuat semata-mata untuk kepentingan politik.

Hadi ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat, Perak malam kelmarin mengulangi rungutan sebelum ini bahawa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji dan umrah berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.

“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun...nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.

"(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh," katanya ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat, Perak malam tadi.

"Kuasa politik yang tinggi mesti orang Islam.

"Allah tak izin orang bukan Islam atasi orang Islam dalam pemerintahan negara,” kata Hadi yang juga ahli parlimen Marang.

"Kita mesti faham, kemenangan politik kepada Islam sangat penting. Islam mesti berkuasa dan memerintah, memimpin," tegas presiden PAS itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS