Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Sri Muda kejar MB S'gor hingga ke Perak pulang hampa

Penduduk Taman Sri Muda yang berangkat ke Perak hari ini bagi menyerahkan memorandum berkenaan banjir kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pulang dengan perasaan hampa.

Bas sewa khas yang membawa kira-kira 40 orang penduduk — kebanyakannya warga emas — bertolak ke Perak hari ini bagi "mengejar" Amirudin yang sedang berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

Diketuai jurucakap mereka, Umagandhan Krishnan, kumpulan itu bagaimanapun gagal menyerahkan memorandum untuk menuntut kerajaan negeri menyelesaikan masalah banjir yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu.

Sebaliknya, bas mereka dihalang daripada memasuki lokasi majlis makan malam di Kampung Coldmines yang dijadual dihadiri Amirudin sebagai sebahagian daripada kempen BN untuk kerusi DUN Ayer Kuning.

Sebuah kenderaan yang dipercayai membawa menteri besar itu juga kelihatan dipandu melepasi bas tersebut yang berada kira-kira 500 meter dari lokasi majlis, yang mempunyai ruang parkir terhad.

Firdaus Shir Mohd, pegawai khas kepada setiausaha politik Amirudin, Saifuddin Shafi Muhammad, kemudian datang untuk bercakap dengan penduduk.

Namun, Umagandhan enggan menyerahkan kesemua 1,300 salinan memorandum yang ditandatangani penduduk.

Sebaliknya, Firdaus hanya diberikan beberapa salinan sahaja.

“Kami telah merentasi perjalanan jauh untuk sampai ke sini, tapi kini hanya mampu berbincang di tepi jalan,” kata Umagandhan.

“Saya percaya anda boleh menyampaikan isu ini kepada menteri besar kerana anda ada kuasa untuk itu, tetapi sebagai pegawai khas kepada setiausaha politik, anda tidak mampu menyelesaikan masalah kami.

“Sebab itu kami mahu serahkan memorandum ini terus kepada menteri besar,” tambahnya.

Kumpulan itu meninggalkan lokasi selepas kira-kira setengah jam berada di bawah panas terik dan dipantau oleh anggota keselamatan.

Singgah di Pusat Khidmat Ayer Kuning

Sebelum tiba di Kampung Coldmines, kumpulan tersebut singgah di pusat khidmat Adun Ayer Kuning di Tapah, yang pada asalnya dijadikan lokasi sidang media.

Namun, tiada wakil dari BN mahupun PH berada di pusat itu.

Selepas dimaklumkan media bahawa tiada siapa yang boleh menerima memorandum tersebut, penduduk berkenaan membuat keputusan untuk ke Kampung Coldmines selepas menerima maklumat bahawa Amirudin akan berada di sana.

Makluman tentang perjalanan kumpulan itu disebarkan kepada media oleh ketua penerangan Parti Masyarakat India Malaysia (MIPP), Suthan Mookaiah, yang kemudian menjelaskan bahawa parti komponen PN itu tidak terlibat dalam tindakan tersebut.

Sebaliknya, MIPP hanya membantu kumpulan itu mencari lokasi sidang media.

Tuduhan ‘dipergunakan’ dan sentimen perkauman

Umagandhan, turut membantah kenyataan Saifuddin yang menuduh penduduk dipergunakan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.

Saifuddin turut mendakwa ada cubaan memainkan sentimen perkauman bagi mencetuskan ketegangan, sambil menegaskan kerajaan Selangor komited untuk menyelesaikan isu itu melalui tindakan terancang dan bukannya "provokasi murahan".

“Cubaan mempergunakan sekumpulan kecil penduduk — yang majoritinya dari satu kaum — untuk berarak ke pentas politik luar negeri negeri hanya mencetus persepsi negatif yang tidak sepatutnya wujud,” kata Saifuddin.

Menempelak pandangan tersebut yang disifatkan berbaur perkauman, Umagandhan menegaskan bahawa tindakan mereka tidak disokong oleh mana-mana parti politik.

“Kami datang sejauh ini kerana berharap menteri besar akan dengar rintihan kami. Kami tak yakin isu ini boleh diselesaikan oleh Adun atau ahli majlis sahaja.

“Kami minta pihak eksekutif ambil alih. Kenapa kami dilabel rasis dan dituduh ada agenda?” soal Umagandhan kesal.

Aktivis sosial itu turut mendesak Saifuddin memohon maaf kepada penduduk, dan menyatakan bahawa ada antara mereka sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis atas dakwaan fitnah.

Mesyuarat khas diarahkan Amirudin

Dalam satu kenyataan berasingan sebelum ketibaan kumpulan itu, Amirudin memaklumkan dia telah mengarahkan mesyuarat koordinasi tergempar diadakan esok bagi membincangkan isu banjir di Taman Sri Muda.

Mesyuarat itu akan melibatkan pelbagai agensi, termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Pengairan dan Saliran, bagi menangani isu berbangkit.

Sebelum ini, penduduk memberi amaran bahawa kegagalan pihak berkuasa bertindak akan menyebabkan mereka melancarkan protes besar-besaran.

Mereka mendakwa tiga pam air baru bernilai jutaan ringgit yang dipasang kerajaan negeri tahun lalu gagal berfungsi ketika diperlukan, menyebabkan kawasan itu terus dilanda banjir berulang tahun ini — termasuk satu kejadian pada pagi tadi.

Taman Sri Muda merupakan antara kawasan paling teruk terjejas semasa banjir besar melandan Lembah Klang pada Disember 2021, yang meragut 14 nyawa dan memaksa ribuan penduduk berpindah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS