Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gangguan seksual: Guru sekolah Cina di Kedah ditahan
Diterbitkan:  Apr 20, 2025 10:07 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Seorang guru di Sekolah Menengah Persendirian Keat Hwa di Alor Setar, Kedah ditahan pihak polis berikutan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar.

Pihak sekolah telah mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan serta menggantung tugas guru yang terlibat.

Menurut kenyataan di laman rasmi Facebook sekolah itu, pihak polis memaklumkan kepada pihak sekolah pada jam 5 petang semalam (19 April) bahawa seorang pelajar telah membuat laporan terhadap seorang guru berhubung gangguan seksual.

Memandangkan pengetua sedang mengambil cuti sakit, penolong kanan sekolah itu telah mengumpulkan maklumat berkaitan dakwaan itu dan melaporkan perkara itu kepada lembaga pengurusan sekolah, yang kemudiannya menubuhkan satu pasukan khas yang terdiri daripada ahli lembaga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta persatuan alumni.

Pasukan tersebut telah mengadakan mesyuarat tergempar pada jam 10 pagi hari ini dan mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengandungi beberapa perkara utama.

Selain digantung tugas, guru berkenaan dilarang memasuki kawasan sekolah sementara menunggu siasatan selesai.

Pihak sekolah juga telah menyediakan "e-mel pelaporan keselamatan kampus," yang diuruskan bersama oleh lembaga sekolah dan PIBG.

Selain itu, pihak sekolah akan mengadakan taklimat tergempar kepada semua kakitangan esok pagi (21 April), dan menjemput pihak media hadir ke sekolah pada jam 2 petang hari yang sama.

Insiden di Alor Setar itu berlaku selepas beberapa dakwaan gangguan seksual dilaporkan di sebuah sekolah menengah persendirian Cina di Kulai, Johor, awal bulan ini.

Pelajar perempuan dan alumni Sekolah Menengah Foon Yew mendakwa gambar mereka telah disunting secara tidak senonoh oleh seorang pelajar lelaki tanpa kebenaran.

Susulan itu, pelbagai lagi dakwaan salah laku seksual serta aduan terhadap cara pihak sekolah mengendalikan kes-kes sedemikian muncul, melibatkan kampus induk di Johor Bahru serta cawangannya di Kulai.

Pengetua cawangan sekolah di Kulai itu telah pun meletakkan jawatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS