Satu mesyuarat koordinasi melibatkan semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan dijalankan segera esok bagi menangani isu banjir kilat di Sri Muda.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Exco Infrastruktur Negeri Selangor, Izham Hashim telah diarahkan berbuat demikian dan akan mengenal pasti tindakan pada kadar serta merta.
“Saya mengambil maklum akan insiden susulan yang berlaku di Sri Muda, Shah Alam rentetan hujan lebat yang berlaku beberapa hari kebelakangan ini.
“Saya memahami kegusaran dan kegelisahan para penduduk Taman Sri Muda akibat dari peristiwa banjir kilat yang berlaku ini. Penyelesaian jangka panjang harus dilaksanakan secepat mungkin dan kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan amat penting agar peristiwa hitam banjir besar 2021 tidak berulang lagi.
“Sebagai permulaan, Setiausaha Politik saya, Saifuddin Shafi untuk memanggil mesyuarat koordinasi segera esok melibatkan semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam dan Jabatan Pengairan dan Saliran agar isu ini dapat ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri komited memastikan supaya isu itu mendapat penyelesaian menyeluruh supaya sebarang insiden tidak diingini ditangani sewajarnya dan dapat dikurangkan kesannya kepada penduduk yang terjejas.
Terdahulu Malaysiakini hari ini melaporkan sekumpulan penduduk Taman Sri Muda ‘mengejar’ mengteri besar sehingga ke Tapah, Perak demi menyerahkan memorandum bagi menuntut penyelesaian isu banjir yang sekian lama melanda penempatan mereka.
Mereka berbuat demikian selepas dimaklumkan tentang kehadiran Amirudin di Tapah hari ini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

Jurucakap penduduk, Umagandhan Krishnan berkata tindakan itu diambil kerana kegagalan pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan maklum balas terhadap tuntutan penyelesaian masalah banjir di kawasan mereka.
Menurut Umagandhan, seramai 40 wakil penduduk dijadualkan menaiki bas dari Taman Sri Muda tepat jam 12 tengah hari, dan dijangka tiba di Tapah sekitar jam 2 petang.
Langkah itu, katanya menyusuli tempoh tujuh hari yang diberikan kepada kerajaan negeri dan PBT minggu lalu — satu tempoh yang kini tamat tanpa tindakan tuntas.
