Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Perak memberi jaminan semua 85 ladang babi yang beroperasi di negeri itu mempunyai lesen sah, menolak dakwaan yang dibangkitkan oleh PN.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata semua ladang yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa telah mendapat kelulusan kerajaan.

“Saya telah bertemu dengan setiap penternak babi di Perak, malah kami mengadakan mesyuarat setiap tiga bulan.

“Mereka semua menjalankan penternakan babi yang sah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di program Jualan Madani Rakyat di Ayer Kuning, Perak hari ini.

25 peratus ladang ditutup sejak penyusunan semula

Sivanesan menjelaskan susulan pelaksanaan aktiviti penyusunan semula yang dimulakan oleh kerajaan negeri sejak 26 bulan lalu, sebanyak 25 peratus ladang babi telah ditutup.

Menolak dakwaan yang dibuat oleh pemimpin PN sebelum ini, dia berkata hanya terdapat sembilan ladang babi di Ayer Kuning dan dari jumlah itu, tiga telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan teknik penternakan moden.

Baki enam lagi ladang, katanya sedang dalam proses mendapatkan kelulusan sama daripada pihak berkuasa.

“Adun Manjoi (Ketua Pemuda PN Perak Hafez Sabri) kata ada 30 ladang babi di Batang Padang, tetapi sebenarnya hanya ada 21 ladang,” tegasnya.

“Kalau pembangkang nak bercakap tentang sesuatu isu, mereka kena tahu fakta yang betul.

Adun Manjoi merangkap Ketua Pemuda PN Perak Hafez Sabri.

“Esok saya akan terangkan dalam sidang DUN bagaimana babi dibawa masuk ke negara kita, bagaimana proses penternakannya, dan bila ia bermula,” katanya.

Sivanesan turut menegaskan meskipun kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menutup ladang babi, langkah itu boleh membawa kesan buruk kepada pasaran makanan.

“Kalau kita tutup ladang babi, 26 peratus rakyat yang makan daging babi sebagai sumber protein terpaksa cari alternatif lain.

“Kalau mereka beralih kepada ayam, bekalan pasaran ayam pula akan merosot dan itu boleh cetuskan krisis lain,” jelasnya.

PN dakwa ladang babi ancam kesihatan, cemar alam

Terdahulu, PN menimbulkan kebimbangan mengenai dakwaan wujudnya terlalu banyak ladang babi di kawasan majoriti Melayu di dalam kawasan DUN Ayer Kuning, yang sedang menghadapi pilihan raya kecil (PRK) berikutan kematian penyandangnya dari Umno.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad (gambar bawah) berkata ladang-ladang itu mengancam alam sekitar dan kesihatan awam, mendakwa pemerhatian di lapangan oleh pihaknya menemui “banyak” ladang babi sah dan tidak sah di kawasan berpenduduk majoriti Melayu-Islam.

Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Polisi Jawatankuasa Penerangan PAS, Nurul Islam Mohamed Yusoff turut mengulangi dakwaan itu semalam.

Malah Nurul Islam mencabar Pemuda Amanah Perak supaya “mandi di sungai” untuk membuktikan air tidak tercemar akibat ladang babi.

Iniselepas sayap pemuda Amanah mengkritik PN kerana didakwa mempolitikkan isu berkenaan menjelang PRK Ayer Kuning.

Pengundi dijadual mengundi pada 26 April ini, dengan PN menampilkan Ketua PN Tapah, Abd Muhaimin Malek sebagai calon manakala BN meletakkan Setiausaha Umno Tapah, Yusri Bakir.

Timbalan setiausaha agung PSM, Bawani KS melengkapkan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi DUN itu yang terletak dalam parlimen Tapah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS