Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng mempersoalkan mengapa projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang masih belum menerima Notis Permulaan Rasmi, meskipun majlis pelancarannya telah disempurnakan secara rasmi oleh Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan pada Januari lalu.
Tan, yang juga pengerusi MCA Pulau Pinang kesal terhadap apa yang disifatkannya sebagai “pengumuman berprofil tinggi” oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kementerian Pengangkutan.
Tegasnya projek itu dipromosikan sebagai inisiatif penting Kerajaan Perpaduan namun sehingga kini tiada perkembangan fizikal dapat dilihat.
Dia merujuk kepada kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam majlis pecah tanah untuk stesen pertama LRT, “Stesen Bandar Sri Pinang” pada 11 Januari tahun ini, yang mana projek itu telah diumumkan secara terbuka sebagai sudah dilancarkan.

“Namun, selepas tiga bulan berlalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mendedahkan bahawa projek tersebut masih belum bermula secara fizikal kerana entiti milik penuh kerajaan persekutuan, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), belum mengeluarkan notis rasmi untuk memulakan kerja,” kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.
Tan mendakwa situasi ini menjejaskan kredibiliti kerajaan secara serius.
“Sebuah projek pengangkutan awam bernilai RM13 bilion yang menarik perhatian seluruh negara — tapi mereka masih belum lengkapkan langkah paling asas iaitu keluarkan notis mula kerja?
“Adakah majlis pecah tanah besar-besaran itu sekadar gimik politik,” soal Tan sambil menggesa Anthony Loke tampil memberi penjelasan terbuka.

“Jika ia isu prosedur atau berpunca daripada komunikasi dalaman yang lemah, kerajaan perlu perjelas dan bertanggungjawab supaya kepercayaan awam tidak terus terhakis,” katanya lagi.
MRT Corp belum keluarkan notis mula
Menurut laporan Buletin Mutiara, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam sidang media semalam mengesahkan bahawa projek LRT Laluan Mutiara tidak boleh dimulakan selagi MRT Corp belum mengeluarkan notis mula kerja kepada syarikat pelaksana projek.
Firma pelaksana yang dilantik, SRS Consortium, tidak dapat menjalankan sebarang aktiviti berkaitan pembinaan tanpa notis rasmi tersebut.

“Saya difahamkan apa yang perlu dilakukan sekarang adalah notis pemulaan perlu dikeluarkan oleh MRT Corp kepada SRS Consortium.
“Selagi MRT Corp tidak mengeluarkan Notis (Pemulaan) itu, maka kita perlu tunggu (yang mana) lain-lain kerja yang tidak melibatkan pembinaan di tapak perlu diselesaikan juga,” katanya yang juga exco pembangunan ekonomi negeri dan ahli parlimen Batu Kawan..
Sementara menunggu Notis Permulaan tersebut, Chow berkata kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan kerja-kerja berwajib yang lain demi melicinkan kerja-kerja pembinaan LRT tersebut, kelak.
“Banyak kerja akan dilakukan serentak (yang mana) bagi pihak Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan untuk (urusan) pengambilan tanah.

“Kedua, mengusahakan struktur-struktur yang ada dalam tanah-tanah Kerajaan iaitu (merujuk pada) rizab jalan dan jajaran LRT itu perlu dikosongkan sebelum projek pembinaan bermula.
“Kerja-kerja ini dilakukan oleh Pentadbir Tanah Daerah Timur Laut dan (Pentadbir Tanah Daerah) Barat Daya sebab melibatkan dua daerah ini,” jelasnya Chow lagi.
[Baca berita asal]
