Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata pintu Perikatan Nasional (PN) sentiasa terbuka kepada ahli PKR yang tidak berpuas hati dengan parti mereka sendiri.
Mengulas pemilihan cabang PKR yang sedang berlangsung, Ahmad Fadhli yang dikenali dengan gaya sinisnya berkata beliau menyedari wujud banyak aduan berhubung proses pemilihan tersebut.
"Saya banyak membaca keluhan sahabat-sahabat dari PKR yang kecewa dengan sistem pemilihan dalaman parti yang berlangsung.
"Pelbagai keluhan dan kritikan yang tak perlu saya nyatakan kerana sebahagiannya dilontar secara terbuka.

"Saya ingin katakan bahawa jika sahabat-sahabat yang ada dalam PKR merasakan bahawa situasi yang teruk dan sudah tidak boleh dibaiki lagi, pintu Perikatan Nasional sentiasa terbuka. Selamat datang, ahlan wasahlan,” kata ahli parlimen Pasir Mas itu di Facebook hari ini.
Pemilihan dalaman PKR kali ini menyaksikan beberapa pemimpin parti itu tewas di pelbagai negeri.
Terdahulu hari ini, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengumumkan akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Rabu (23 April) bagi membincangkan dakwaan penyelewengan yang berlaku sepanjang proses pemilihan tersebut.
Difahamkan mesyuarat itu dipanggil selepas lebih 20 anggota MPP membuat permintaan secara rasmi.
‘Badan tanpa kepala’
Proses pemilihan cabang PKR kali ini dibayangi laporan-laporan berkaitan ketidakteraturan, termasuk senario yang digelar sebagai “badan tanpa kepala” — apabila pasukan tertentu memenangi kerusi jawatankuasa, tetapi ketua pasukan mereka tewas dalam pemilihan ketua cabang.
Antara contoh keputusan yang mencerminkan pola ini termasuk Gan Ay Ling di Kangar, Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Balik Pulau, Mohd Kamri Kamaruddin di Ampang, Chua Wei Kiat di Selayang, Rodziah Ismail di Shah Alam, dan Ginie Lim di Alor Gajah.
Selain itu, Adun Rawang, Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung turut mengemukakan rayuan secara berasingan kepada jawatankuasa pemilihan PKR untuk menyemak semula keputusan yang didakwa mempunyai percanggahan.
Di Petaling Jaya, Lee tewas kepada penyandang jawatan, Hee Loy Sian, yang merupakan bekas ahli parlimen Petaling Jaya Selatan dan berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai ketua cabang.
Melalui satu hantaran di Facebook, Lee berkata dia menerima banyak panggilan dan mesej daripada penyokong yang mempersoalkan keputusan tersebut.
Rayuan dibenarkan di bawah sistem pemilihan PKR, dengan setiap permohonan dikenakan bayaran sebanyak RM100.
