Sekumpulan penduduk Taman Sri Muda hari ini nekad berangkat ke Tapah, Perak demi satu tujuan: menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, bagi menuntut penyelesaian isu banjir yang sekian lama menghantui penempatan mereka.
Keputusan itu diambil selepas mereka dimaklumkan tentang kehadiran Amirudin di Tapah hari ini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Jurucakap penduduk, Umagandhan Krishnan berkata tindakan itu diambil kerana kegagalan pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan maklum balas terhadap tuntutan penyelesaian masalah banjir di kawasan mereka.
“Kita dah umumkan bahawa sekiranya tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan, kita akan adakan perhimpunan aman hari ini.

“Dan sebelum ini dia (menteri besar) sibuk, tak nak jumpa rakyat. Tak apa, kita akan pergi jumpa dia. Kita dah hubungi pegawai khas dia.
“Jadi, buat masa ini seramai 40 orang penduduk akan hantar memorandum kepada menteri besar di DUN Ayer Kuning.
“Dari 2021 hingga kini, sudah empat tahun mereka hanya berikan alasan... kita tidak mahu dengar alasan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan aman yang diadakan di Taman Sri Muda, Shah Alam.
Naik bas demi bawa suara
Menurut Umagandhan, seramai 40 wakil penduduk dijadualkan menaiki bas dari Taman Sri Muda tepat jam 12 tengah hari, dan dijangka tiba di Tapah sekitar jam 2 petang.
Langkah itu, katanya menyusuli tempoh tujuh hari yang diberikan kepada kerajaan negeri dan PBT minggu lalu — satu tempoh yang kini tamat tanpa tindakan tuntas.
Terdahulu, penduduk memberi amaran kegagalan pihak berkuasa bertindak akan mendorong mereka melancarkan bantahan besar-besaran.

Mereka mendakwa tiga pam air baru yang dipasang kerajaan negeri tahun lalu — di bawah projek bernilai jutaan ringgit — gagal berfungsi sewaktu diperlukan, menyebabkan kawasan mereka ditenggelami banjir sebanyak dua kali tahun ini.
Trauma setiap kali langit mendung
Dalam sidang medianya, Umagandhan menzahirkan kegusaran yang semakin menghimpit penduduk, terutamanya apabila hujan turun dengan lebat.
Katanya, setiap kali langit mendung, mereka dihantui trauma — bukan kerana gerimis, tetapi kerana banjir yang mungkin tiba.

Namun, Umagandhan menjelaskan perjuangan mereka bukan bermotifkan politik.
“Bukan kita nak jadikan isu ini isu politik tapi orang yang kena selesaikan isu ini adalah ahli politik.
“Kita tak nak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau ahli majlis yang berucap dekat sini.
“Kita nak penyelesaian muktamad. Seringkali penyelesaian sementara sahaja (yang diambil pihak berkuasa), kita juga perlukan dana bantuan,” katanya.
Tiga tuntutan dalam memorandum
Umagandhan berkata memorandum yang akan diserahkan penduduk itu menggariskan tiga tuntutan utama kepada kerajaan negeri, kerajaan pusat dan pihak berkuasa berkaitan.
"Pertama, penduduk terbabit menggesa agar kerajaan dapat memberikan penyelesaian muktamad dan kekal untuk menghentikan isu banjir di kawasan berkenaan dan bukan sekadar memberi pelbagai alasan.

“Selain itu, kami mahukan penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri serta pusat mengenai tindakan yang telah dan akan diambil selain memberikan dana bantuan kepada mangsa banjir," katanya.
Tuntutan ketiga, menurut Umagandhan menyentuh tentang keperluan dialog terbuka bersama kepimpinan tertinggi negeri dan persekutuan.
“Sebagai penduduk, kami kerap menjadi mangsa banjir dan tiada masa atau tenaga untuk menunggu lama supaya perkara ini diselesaikan. Kami mahu penyelesaian segera dan muktamad,” katanya.
Mereka juga mendesak agar satu sesi pertemuan bersama Menteri Besar Selangor dan menteri kabinet diadakan dalam tempoh 14 hari selepas penyerahan memorandum dibuat.
Perhimpunan aman jadi tegang seketika
Sementara itu, suasana perhimpunan aman yang turut disertai penduduk dari Bukit Kemuning dan Batu Lapan di Shah Alam bertukar kecoh seketika sejurus Adun Kota Kemuning, S Preakas, tiba di lokasi untuk memberikan penjelasan.
Bagaimanapun, kehadirannya tidak disenangi sebahagian penduduk yang hanya mahu bertemu dengan Amirudin sendiri dan berbincang secara terus dengan menteri besar.
Namun, kekecohan itu reda selepas Preakas diberi ruang untuk menyampaikan penjelasan kepada mereka.
Ketika banjir besar Disember 2021, Taman Sri Muda antara kawasan paling parah terjejas, dengan air naik lebih tiga meter di beberapa lokasi, memaksa ribuan penduduk berpindah.
Seramai 14 nyawa terkorban dalam bencana tersebut dan bagi mereka yang masih tinggal di situ, trauma kejadian ngeri itu masih belum sembuh.
