Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar padam video lawatan ke Thailand sebab lagu curang dalam cinta
Diterbitkan:  Apr 20, 2025 1:44 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memadam video lawatan rasmi ke Thailand di Facebooknya selepas ia menggunakan lagu bertemakan kecurangan cinta.

Menurut laporan Nation Thailand, video tersebut menarik perhatian kerana menggunakan lagu rock balada bertajuk Om Phra Ma Phut (Bersumpah atas nama Buddha) nyanyian Sek Loso dan Bird Thongchai McIntyre.

Lagu itu berkisar tentang seseorang yang tidak lagi mempercayai pasangan yang sering menipu, walaupun bersumpah atas nama Buddha.

“Frasa ‘Om Phra Ma Phut’ lazim digunakan dalam bahasa Thai untuk menekankan keikhlasan, seakan-akan seperti berkata ‘Saya bersumpah atas nama Tuhan’,” lapor portal itu.

Anwar bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.

“Namun, dalam konteks lagu ini, ia digunakan secara sinis, apabila penyanyi meluahkan rasa tidak percaya terhadap pasangan yang berkali-kali berbohong — sehinggakan sumpah atas nama Buddha juga tidak cukup untuk memulihkan kepercayaan.”

Terjemahan lirik lagu itu antara lain berbunyi:

“Aku tak mahu lagi melihat insan berhati hitam / Aku tak percaya mereka yang hafal skrip pidato.”

Disiarkan semula dengan lagu lain

Video asal tersebut memaparkan sedutan pertemuan Anwar dengan beberapa tokoh utama Thailand, termasuk Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra.

Bagaimanapun, selepas ia dipadam, video berkenaan telah dimuat naik semula di Facebook rasmi Anwar, kali ini menggunakan lagu berbeza.

Versi baru itu menggunakan lagu Yarm Yen (Cinta di senja hari), sebuah komposisi oleh Raja Rama IX.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS