Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO: Hukum Sin Chew secara berlebihan bercanggah ajaran Islam
Diterbitkan:  Apr 20, 2025 10:47 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

Tindakan mahu menghukum akhbar Sin Chew Daily secara berlebihan berhubung kesilapan bendera negara yang diterbitkannya bercanggah dengan ajaran Islam, kata Gerakan Akademik Malaysia (Gerak).

Menurut NGO itu, Islam menuntut penganutnya untuk mengimbangi keadilan dengan belas ihsan dan kasih sayang.

“Walaupun terdapat pengajaran meluas tentang prinsip-prinsip Islam, kita telah mengabaikan nilai yang lebih dalam seperti kasih sayang, keterangkuman, penerimaan, dan kerendahan hati.

“Sebaliknya, kita mengangkat ritual dan amalan lahiriah, namun menafikan teladan Nabi Muhammad SAW yang mengutamakan rahmah dan pengampunan,” kata jawatankuasa eksekutif Gerak pada satu kenyataan malam tadi.

Gerak berkata sebagai akibat masyarakat cepat menghukum kesilapan yang tidak disengajakan tetapi lambat mengiktiraf kekuatan penyatuan menerusi kemaafan.

“Gerak menggesa rakyat Malaysia agar menghidupkan semula semangat penuh rahmah ini, dan melihat permohonan maaf serta pembetulan sebagai peluang untuk menyatukan, bukan sebagai pencetus hukuman,” katanya.

Pada Selasa (15 April), Sin Chew menerbitkan ilustrasi jong yang memaparkan bendera Malaysia dan China sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping. Namun, Jalur Gemilang dalam ilustrasi itu tidak memaparkan lambang bulan sabit — simbol Islam agama Persekutuan.

Insiden itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk titah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sin Chew kemudian memohon maaf dan menjelaskan ia berpunca daripada ralat teknikal.

Akhbar itu turut menerbitkan versi pembetulan keesokan harinya, berjanji mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangannya serta menyemak semula prosedur editorial termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Kes itu kini disiasat secara berasingan oleh polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mengulas lanjut, Gerak berkata permohonan maaf daripada Sin Chew sepatutnya sudah memadai untuk menamatkan isu tersebut.

“Kami bimbang dengan suara-suara ekstremis, baik daripada kalangan majoriti Muslim mahupun sebaliknya, yang menuntut hukuman tidak sepadan, termasuk cadangan lucut kewarganegaraan, atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

“Tuntutan xenofobik (kebencian kaum) seperti ini menggambarkan kekurangan rasional dan berlebihan emosi,” tegas kenyataan itu.

Gerak turut menegaskan mereka tidak sesekali memandang ringan simbol kebangsaan, namun memberi amaran agar kesilapan seperti itu tidak disamakan dengan perbuatan khianat.

Sindiran 'malu jadi rakyat Malaysia'

Terdahulu, Ketua Pemuda Perkasa, Zool Amali Hussin dilaporkan berkata lebih baik dua editor Sin Chew yang bertanggungjawab dalam insiden itu “berambus” kerana “tiada guna jadi rakyat Malaysia.”

Gerak turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan pensyarah Prof Tajuddin Rasdi sebelum ini yang menyentuh kecenderungan masyarakat menuntut hukuman berat atas setiap kesilapan.

NGO Perkasa protes isu kesilapan ilustrasi bendera.

Tajuddin sebelum ini meluahkan rasa kesal terhadap penahanan dua editor kanan Sin Chew, sambil mempersoalkan sikap dendam dan 'tiada maaf bagimu' itu

Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada 17 April mengesahkan ketua pengarang dan timbalan ketua subeditor Sin Chew telah disiasat, ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Keesokan harinya, polis memaklumkan sebanyak 42 keterangan telah diambil daripada saksi sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap insiden kesilapan Jalur Gemilang itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS