Pemuda PAS tampil mempertahankan seorang pengguna media sosial yang dijangka akan didakwa di mahkamah kerana memuat naik video TikTok yang dikatakan menghina Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib menegaskan pemuda berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pembantu stesen minyak itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan menyifatkan Anwar sepatutnya lebih terbuka terhadap suara rakyat.
"Rupa-rupanya politik hari ini tak boleh sebut nama Bang Non, ketimbang. Tang (di) mana yang salah sebut, nama panggilan mesra bukan maki hamun.
"Zaman Madani jadi kerajaan, panggilan mesra jadi kesalahan kerana dianggap hina seorang pemimpin yang pegang jawatan perdana menteri.

"Tak payah panggil nama panggilan dah, guna nama kad pengenalan (IC)," katanya semasa ceramah Perikatan Nasional di Tanjung Keramat, Perak, bagi kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Afnan merujuk laporan media sebelum ini yang memetik Ketua Polis Daerah Bachok, Ismail Jamaluddin berkata video itu mengandungi kata-kata kesat dan julukan tidak senonoh terhadap perdana menteri.
Malah, kata polis video itu berniat mengajak orang ramai memboikot Majlis Sambutan Aidilfitri Madani yang telah berlangsung pada 12 April di Pantai Irama, Bachok.
Sementara itu, Afnan membangkitkan perkataan ‘ketimbang’ pernah digunakan sendiri oleh Anwar dalam Dewan Rakyat, sebelum diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Ketimbang tak boleh sebut tapi dia (Anwar) yang perkenalkan istilah tu, dia sebut dalam parlimen, semua MP ternganga apa maksud, masa tu tak masuk lagi dalam kamus...
"Kita pun pakai lah, orang ramai pun pakai, rupa-rupanya dia terasa hati," sindir ahli parlimen Alor Setar itu.
DBP sebelum ini mengumumkan perkataan itu akan dimasukkan dalam edisi kedua Kamus Dewan Perdana, dan dijelaskan sebagai kata sendi yang membawa maksud perbandingan.
Polis sebelum ini memaklumkan suspek akan didakwa minggu depan di Mahkamah Majistret Bachok selepas siasatan oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selesai.
Pemeriksaan terhadap telefon suspek selepas tangkapan turut menemui kandungan pornografi.
Faizal: Umno patut lebih tegas
Sementara itu, Ketua Penerangan PN, Ahmad Faizal Azumu berkata Umno sepatutnya mengambil pendirian lebih tegas dalam isu-isu semasa.
Menjawab dakwaan Umno bahawa PN memainkan sentimen perkauman dalam kempen PRK DUN Ayer Kuning, Faizal menegaskan PN hanya menjalankan tanggungjawab demi mendesak kerajaan yang lebih baik.
"Pelbagai masalah sedang dihadapi rakyat sekarang ini perlu diambil tindakan yang tuntas bukannya mengatakan kami lebih gemar berpolitik sedangkan mereka gagal atau flip flop.

"Kalau Nabil dan Era kena denda tetapi rakan lain mintak maaf selesai masalah. Jadi saya harap Umno sebagai suara keramat Melayu jalankan peranan dengan lebih baik," tegas naib presiden Bersatu itu.
Dia dipercayai merujuk kontroversi melibatkan kesilapan akhbar Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain semalam memaklumkan kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Selain siasatan polis, akhbar berbahasa Cina itu turut berdepan siasatan berasingan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta siasatan oleh MCMC di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada Mac lalu, syarikat induk stesen radio Era FM dikenakan denda RM250,000 susulan insiden penyampainya mempermainkan upacara keagamaan Hindu.
Namun, MCMC memutuskan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk kesan terhadap syarikat-syarikat lain di bawah lesen yang sama.
Kes itu turut disiasat polis dan Razarudin memberitahu Malaysiakini bulan lalu bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada AGC.
Pengundi DUN Ayer Kuning dijadualkan membuang undi pada 26 April ini, dengan PN mempertaruhkan Ketua PN Tapah, Abd Muhaimin Malek, manakala BN meletakkan Setiausaha Umno Tapah, Yusri Bakir.
Timbalan setiausaha agung PSM, Bawani KS melengkapkan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi itu yang dikosongkan selepas penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Feb lalu.
