Isu membabitkan kumpulan pekebun durian di Raub, Pahang tidak perlu dipanjangkan dan semua pihak berkaitan perlu akur dengan titah Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Ketua Bersatu Pahang, Abdul Khalib Abdullah menempelak tindakan DAP negeri yang mahu menjadi 'orang tengah' antara kumpulan pekebun haram dan kerajaan Pahang amat tidak sesuai.
"Sepatutnya mereka tunjuk rasa hormat kepada Tuanku Sultan Pahang dalam hal ini kerana jelas kumpulan pekebun itu dah sah menceroboh tanah milik kerajaan.
"Begitu juga dengan sikap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang seperti mahu menjadi hero dalam hal ini juga tidak patut berlaku," katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Pahang di Temerloh, malam tadi.

Majlis dihadiri Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man serta pimpinan kedua-dua parti.
Semalam, DAP Pahang pada satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedia menjadi 'jambatan' antara kumpulan pekebun dan kerajaan Pahang dalam isu membabitkan kebun durian Musang King di sekitar Raub.
Sebelum ini, kerajaan Pahang menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang melancarkan operasi menebang pokok durian yang ditanam secara haram oleh kumpulan pekebun itu di Sungai Klau pada 8 April.
Ekoran operasi dijalankan UPNP itu, kumpulan pekebun bersama ahli parlimen Raub mengadakan bantahan.

Polis kemudian menahan Chow dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka) Wilson Chang pada 14 April lalu kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Kedua-dua mereka dibebaskan selepas ditahan kira-kira 20 jam untuk tujuan soal siasat.
Jumaat lalu, Sultan Abdullah ketika Istiadat Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang bertitah, isu pencerobohan tanah di negeri berkenaan perlu dinoktahkan.
Baginda bertitah ini kerana aktiviti pembukaan dan pencerobohan tanah secara haram sudah berlaku hampir empat dekad, tanpa pengetahuan baginda.
Janggal dari mulut Umno
Sementara itu, Abdul Khalib mendakwa terdapat pimpinan Umno Pahang yang mengeluarkan kenyataan tindakan Chow dalam isu berkenaan dibuat atas kapasiti peribadi, bukan pendirian DAP.
"Ini yang menjadi kehairanan kepada saya dan rakan-rakan dalam Bersatu (Pahang), apabila seorang pemimpin Umno boleh mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Chow dibuat atas kapasiti peribadi, bukan mewakili suara DAP.
"Kalau kenyataan seperti ini dibuat oleh Anthony Loke, kami tak rasa pelik, tapi kalau dari mulut pemimpin Umno, jadi nampak macam janggal," ujarnya.
Abdul Khalib bagaimanapun tidak menamakan pemimpin Umno terbabit.
Sementara itu, Ahli Parlimen Maran, Ismail Abdul Mutalib pula memberitahu sikap pimpinan DAP Pahang yang terus mahu membela pekebun haram itu menggambarkan seolah-olah mereka tidak menghormati titah Sultan Abdullah.
"Benda ini sepatutnya sudah jelas... anda ceroboh tanah orang (kerajaan Pahang), jadi anda dalam keadaan bersalah dan tidak perlu berunding, keluar sajalah.
"Tidak patut diberikan ruang (rundingan) kerana atas apa alasan sekali pun, anda melakukan kesalahan... memasuki tanah tanpa kebenaran dan kemudian cuba menunjukkan seperti anda menjadi mangsa dalam isu ini," katanya.
