Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad Charles Brewer dikatakan telah memohon maaf kepada kakitangan syarikat itu yang terkesan berhubung maklum balasnya mengenai isu pakaian seragam yang rosak.
Perkembangan itu hadir di tengah kecaman orang ramai susulan maklum balas Brewer terhadap seorang kakitangan yang bertanyakan mengenai penggantian pakaian seragam yang sudah rosak.
"Kami telah mengambil tindakan segera dengan berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan yang terlibat, dan isu ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya.
"CEO kami, Charles Brewer, dengan rasa rendah diri telah menyampaikan permohonan maaf kepada kakitangan yang terkesan dan ingin memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan beliau sebelum ini.
"Beliau dengan jujur mengakui bahawa respons beliau seharusnya lebih berempati, dan dengan tekad yang kuat, beliau berjanji untuk terus membina budaya kerja yang saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira," kata kenyataan yang dikongsi di Facebook Pos Malaysia Berhad.
Tular di media sosial sebelum ini tangkap layar komunikasi seorang posmen serahan, Muhamad Firdauss Rohani dengan Brewer di platform komunikasi dalaman Pos Malaysia.
Muhamad Firdaus bertanyakan mengenai penggantian pakaian seragamnya, dengan menyertakan gambar pakaian seragam kakitangan Pos Malaysia yang dipakainya yang koyak di bahagian bahu.
"Assalamualaikum.. bila baju baru nak dapat? Baju lama dah teruk sangat dah ni. Sampai pelanggan pun dah tegur," soal Muhamad Firdaus.
Susulan itu, Brewer mengingatkan Muhamad Firdaus agar bersyukur kerana bekerja di syarikat penghantaran yang menyediakan pakaian seragam.

"Kamu sudah cukup beruntung kerana tidak bekerja dengan syarikat penghantaran asing yang tidak menyediakan pakaian seragam sama sekali," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan malam ini, Pos Malaysia berkata mereka sedang menambah baik proses dalaman untuk memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.
"Komitmen ini dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat," katanya.
