Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan peruntukan geran individu berjumlah RM200,000 kepada jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang untuk bergerak secara profesional bagi tahun 2025-2026.

Hannah berkata geran tersebut bertujuan memberi sokongan kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris itu merangkumi pengurusan jurulatih, latihan dan kejohanan serta peralatan pertandingan termasuk perubatan dan sains sukan.

Dia berkata pihaknya juga menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada pelumba berusia 37 tahun itu iaitu layak ke Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada tahun hadapan

“Setelah berbincang, kita merasakan geran individu adalah yang paling sesuai untuk kita menyokong karier profesional individu Azizulhasni kerana ia fleksibel untuk beliau mengikuti latihan sendiri.

“Ia juga disokong oleh pihak Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM),” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Azizulhasni berkata setakat ini dia merancang untuk beraksi bagi dua tahun akan datang dan masih belum memutuskan sama ada mahu beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 atau tidak.

Menurutnya antara sebab dia membuat keputusan itu adalah untuk ‘mengubat luka’ gagal membawa pulang pingat emas dari Sukan Olimpik Paris 2024.  

“Saya nak sambung untuk dua tahun mendatang dahulu, sebab pengakhiran di Paris tidak manis bagi saya, itu yang mengganggu saya sebagai atlet, saya bangunkan karier saya dengan baik. Kepayahan dan kesusahan saya dapat lalui, tapi pengakhiran begitu kurang manis dan tidak seperti yang saya mahukan.  

“Harapnya ada manisnya dan dapat mengucapkan selamat tinggal dengan cara yang baik. Saya rasa tiada spesifik sasaran untuk tahun depan, cuma tahun ini sasaran untuk saya Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025. Untuk tahun depan saya belum duduk dan merancang secara terperinci,” katanya.

Mengulas mengenai pangkalan latihannya selepas ini, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata dia akan lebih banyak menjalani latihan di Malaysia. 

“Saya dapat lebih masa untuk latihan bersama skuad negara dan saya akan manfaatkan masa dua tahun ini sebaiknya,” katanya. 

Pada Sukan Olimpik Paris 2024, penyertaan Mohd Azizulhasni dibatalkan ketika aksi pusingan pertama acara keirin kerana memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer), sebelum derny meninggalkan trek selain tewas dalam saingan 1/8 dan tersingkir di repechages acara pecut.

Selepas pulang dengan kekecewaan Mohd Azizulhasni memberi bayangan untuk menamatkan kariernya namun tertangguh apabila dipujuk untuk terus mewakili negara.

Dia kemudian memohon sedikit ruang dan dilaporkan bersedia untuk mengumumkan keputusan mengenai kariernya pada Ramadan lepas namun tidak dapat direalisasikan atas beberapa faktor.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS