Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad telah mengarahkan peguamannya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa dia mengeluarkan pistol bagi mengugut ahli parti pada pemilihan PKR Cabang Tambun baru-baru ini.
Arafat mendakwa tuduhan berkenaan adalah sesuatu yang serius kerana ia bertujuan untuk memburukkan imejnya ketika pemilihan parti.
Dia juga mendakwa pihak yang membuat tuduhan terhadapnya berbohong ketika mengeluarkan kenyataan.
"Rakyat dapat menilai integriti individu yang buat video di mana pernah ditangkap dan didakwa di mahkamah kerana memukul duta Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini.
"Jadi, saya telah memulakan proses undang-undang. Peguam saya sedang keluarkan saman RM1 juta kerana fitnah dan kenyataan palsu," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, empat individu tampil dengan akuan berkanun (SD) dan mengaku sebagai saksi mata serta mendakwa melihat Arafat mengeluarkan pistol dalam kejadian pada 13 April lalu.
Salah seorang yang hadir, Preseen Nair Vijayakumaran, 34, menegaskan bahawa insiden Arafat mengeluarkan sepucuk pistol adalah benar dan bukanlah satu tuduhan palsu mahupun fitnah.

“Saya sendiri merupakan saksi mata kepada kejadian tersebut, bersama beberapa individu lain yang turut menyaksikan insiden itu dengan jelas.
“Kami telah tampil membuat SD bagi mengesahkan perkara ini secara rasmi dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Arafat berkata video yang ditularkan oleh calon timbalan ketua PKR Cabang Tambun Kalaimugilan Arjunan mengesahkan kenyataannya bercanggah dengan laporan polis dibuatnya sebelum ini.
"Dalam video beliau menyatakan Arafat telah menunjukan senjata tetapi dalam laporan polis tidak sebut tunjuk senjata, dia sebut hanya saya keluarkan senjata dari belakang dan serahkan kepada pembantu.
"Dalam video beliau menyatakan Arafat telah ugut ahli-ahli dan calon tetapi dalam laporan polis tidak sebut ugut
"Dalam video menyatakan beliau dan lapan orang pengikut beliau hadir untuk raih undi tetapi dalam laporan polis kata hadir untuk pantau," katanya lagi.
Jelas Arafat, kesemua kenyataan dalam video dengan laporan polis adalah bercanggah dan mendakwa ia merupakan kenyataan palsu dan fitnah terhadapnya.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil supaya insiden seumpama ini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pihak.
"Jika tidak satu hari nanti ada orang boleh kata saya bawa senjata AK47 pula.
"Kesemua saksi dia mungkin ada keberpentingan, semalam saya tengok kenyataan akhbar saksinya dalam Malaysiakini dimaklumkan lima orang yang buat SD, tapi sebelum ini saya difahamkan mereka ada lapan orang saksi, jadi kenapa tiga orang lagi tak buat SD?” soal Arafat.
Semalam, selain Preseen Nair, SD yang mendakwa Arafat mengeluarkan pistol turut dibuat oleh G Hasvin Kumara, 29; V Sehghar, 27; G P Nagaindran, 29; V Kavish Nair, 22 dan R Narayanasamy, 44.
Kesemua mereka merupakan ahli PKR cabang Tambun.
