Kertas siasatan berhubung kesilapan bendera Jalur Gemilang oleh akhbar Sin Chew Daily dilaporkan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Menurut Sinar Harian, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata ia diserahkan semalam.
“Setakat ini, seramai 54 individu telah dirakam keterangan, terdapat saksi lain mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan.
“Siasatan awal mendapati antara alasan diberikan pihak akhbar berkenaan kerana berlakunya kesilapan teknikal dalam penyiaran ilustrasi tersebut,” kata Razarudin seperti dipetik.
Dia berkata polis setakat ini menerima 40 laporan berhubung perkara itu, dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pada Selasa lalu, akhbar bahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi tidak lengkap Jalur Gemilang di muka depannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Jalur Gemilang yang dipaparkan adalah tanpa bulan sabit yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
Selain siasatan polis, Sin Chew turut disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siasatan MCMC juga selesai semalam dan akan diserahkan kepada AGC.
Sin Chew telah memohon maaf atas kesilapan tersebut dan menerbitkan versi pembetulan ilustrasi itu dalam akhbar itu keesokan harinya. Kesalahan itu dikatakan berpunca daripada masalah teknikal.
Ia juga telah menggantung ketua editor yang meluluskan penerbitan ilustrasi tersebut, serta timbalan penyunting yang merupakan pereka grafik imej itu.
Polis sebelum ini telah menahan dua editor Sin Chew pada 17 April, namun membebaskan mereka dengan jaminan polis pada hari yang sama selepas merakam kenyataan mereka dan merampas komputer serta barangan lain bagi membantu siasatan.
