Bekas ketua Bersatu Melaka Mohd Yadzil Yaakub mempersoalkan sama ada Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh terlibat atau tidak dalam penahanan pemimpin parti itu Ali Mohamad.
Dalam kenyataan di media sosial, Yadzil berkata dia pernah melihat video yang didakwa mengaitkan Rauf dalam penahanan Ali Mohamad.
Dakwa ahli majlis tertinggi Bersatu itu, video berdurasi tiga minit dan 57 saat itu mengandungi tiga rakaman suara, yang menampilkan suara serupa dengan Rauf.
Perbualan dalam rakaman ketiga menyebut individu bernama Ali yang kini berada di Dang Wangi - Yadzil percaya ia merujuk kepada Ali Mohamad.
"Pihak ketua menteri sepatutnya segera membuat laporan polis jika benar beliau tidak ada kaitan dengan rakaman audio ini dan perancangan yang terkutuk ini.
"Laporan ini penting agar pihak berkuasa dapat membuka kertas siasatan untuk membersihkan nama baik ketua menteri dari fitnah oleh individu yang tidak bertanggungjawabl," kata Yadzil.
Dia turut menggesa SPRM dan polis menyiasat perkara itu, selain menggesa pemeriksaan forensik dilakukan bagi mengenal pasti suara individu dalam rakaman itu serta mengesahkan kesahihan klip berkenaan.
Malaysiakini telah menghubungi Rauf untuk mendapatkan ulasan.

Pada 15 April, SPRM menahan Ali bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes rasuah.
Menurut peguamnya Rafique Rashid Ali, bekas timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu ditahan pada pukul 6.30 petang apabila pegawai SPRM menyerbu rumahnya di Tangga Batu.
SPRM turut merakam kenyataan isteri dan anak ahli politik itu di pejabat mereka di Melaka, sebelum dibebaskan kira-kira jam 9 malam itu.
Keesokan harinya, Utusan Malaysia melaporkan Rauf menafikan penglibatannya, dan berkata spekulasi yang mengaitkannya tidak mempunyai sebarang asas.
Dalam kenyataan Yadzil, dia berkata, ketiga-tiga rakaman itu adalah antara dua individu, salah seorang daripada mereka disebut sebagai "bos".
Dalam klip pertama, dia berkata "bos" dan individu tidak dikenali kedengaran membincangkan "laporan" yang akan dibuat di "balai" (balai polis).
Klip kedua mengandungi perbincangan antara 'bos' dengan seorang lagi berhubung status "laporan" yang telah pun dibuat, serta janji ganjaran daripada 'bos' selepas tugas yang diarahkan selesai, kata Yadzil.
Selain sebutan "Ali" dalam klip ketiga, Yadzil berkata terdapat juga sebutan berulang tentang "Abang Mansor".
Kata Yadzil, 'bos' itu telah mengarahkan orang lain dalam perbualan untuk memastikan "Abang Mansor" mengakui "kenyataan" yang telah dirancang.
Merujuk kepada rakaman ini, Yadzil bertanya sama ada Rauf bercakap benar apabila menafikan penglibatannya dalam kes Ali Mohamad.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Melaka Muhammad Haziq Hishamudin menggesa Rauf memberikan penjelasan berhubung rakaman itu.
Haziq mengesyorkan Rauf mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran video itu sekiranya dakwaan itu palsu.
“Jika benar rakaman itu palsu, maka ambil tindakan segera terhadap pelakunya.
“Namun, jika ia tulen dan sahih, maka tindakan tegas perlu diambil terhadap setiap individu yang terlibat dalam rakaman itu,” kata Haziq.
