Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bila dah tak ada isu, babi pun mereka tunggang'
Diterbitkan:  Apr 19, 2025 3:45 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

PRK AYER KUNING | Pemuda Amanah Perak mendakwa “pihak tertentu” menunggang isu ladang ternakan babi dalam kempen PRK Ayer Kuning yang sedang berjalan.

Menyifatkan mereka sebagai kehabisan modal, ketuanya Khairol Najib Hashim membidas pihak tersebut yang cuba mengelirukan pengundi bahawa 34 ladang ternakan babi ditutup semasa Perak ditadbir PN pada 2022 hingga 2022.

"Hakikatnya, angka itu adalah hasil penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak di bawah Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992 dan Kaedah-Kaedah 2009, jauh lebih awal sebelum mereka pegang kuasa.

"Ia bukan hasil inisiatif politik, bukan hasil keberanian sesiapa dalam PAS, dan bukan juga hasil pelan yang dibawa ke mesyuarat EXCO. Sekadar proses pentadbiran biasa yang dijalankan oleh agensi kerajaan negeri. Itu pun mereka nak claim," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Isu ladang ternakan babi, sama ada yang berlesen atau tidak, di kawasan majoriti Melayu di Ayer Kuning telah mencetuskan perang mulut antara Amanah dan PAS.

Masing-masing membangkitkan tentang kegagalan untuk bertindak semasa berkuasa dan menjadi kerajaan negeri terdahulu.

Mengulas lanjut, Khairol Najib mendakwa dua wakil PAS dalam kerajaan Perak sebelum ini ditugaskan untuk menyelia portfolio pertanian dan alam sekitar.

Namun, isu ladang babi masih gagal ditangani secara berkesan dan tidak berbangkit ketika itu, katanya lagi.

"Tapi apa hasilnya? Babi tetap bermaharajalela.

"Tiada pelan pemindahan, tiada penyusunan semula, tiada perubahan dasar. 

"Yang ada hanyalah alasan bahawa penternak dah belanja juta-juta untuk rawat bau, maka tak boleh kacau. Bila ada kuasa, jin pun mereka tak kacau. Bila hilang kuasa, babi pun mereka kejar," katanya yang merujuk kepada Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria, yang ketika itu menjadi exco pertanian.

"Jangan biarkan isu ini ditunggang oleh mereka yang gagal sewaktu diberi kuasa, tetapi kini berselindung di sebalik angka dan sentimen. 

"Bila isu lain dah tak jalan, babi pun jadi modal," tegasnya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Dasar Jawatankuasa Penerangan PAS Nurul Islam Mohamed Yusoff mencabar Pemuda Amanah Perak untuk mandi di mana-mana sungai di Ayer Kuning, bagi membuktikan air bersih dan suci daripada sisa yang dibuang dari ladang ternakan babi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS