Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu bendera: Bezakan kecuaian editorial dan niat jahat - MP Miri
Diterbitkan:  Apr 19, 2025 3:01 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Ahli Parlimen Miri, Chew Choon Man menegaskan insiden penerbitan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap oleh Sin Chew Daily wajar dijadikan peringatan bersama tentang kepentingan menghormati simbol kebangsaan, namun menolak tindakan keterlaluan dan tuduhan berniat jahat terhadap organisasi media berkenaan.

Dia menegaskan bahawa Jalur Gemilang ialah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti negara, dan sebarang kecuaian dalam penggunaannya perlu ditegur serta disiasat secara teliti mengikut undang-undang.

"Dalam menangani perkara ini, kita harus membezakan antara kecuaian editorial dan tuduhan berniat jahat.

“Sebagai syarikat media arus perdana, adalah tidak munasabah bagi mereka untuk melakukan kesilapan ini dengan sengaja dan niat jahat sama sekali. Justeru, biarlah proses siasatan berjalan tanpa tekanan serta tanpa reaksi berlebihan," katanya.

Chew turut menyambut baik langkah proaktif pengurusan Sin Chew Daily menggantung dua pegawai kanannya, memohon maaf secara terbuka, serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Dia menyeru semua pihak supaya memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan agar disempurnakan tanpa tekanan luar.

"Kita semua tidak terlepas daripada kekhilafan; yang penting adalah undang‑undang ditegakkan dan menjadi iktibar kepada kita semua,” ujarnya.

Menurut Chew, insiden ini mengingatkan tentang kepentingan ketelitian profesional, garis panduan editorial yang lebih ketat, serta pendidikan sivik yang berterusan —daripada bilik darjah hingga ke bilik berita — agar setiap warganegara memahami dan menghormati simbol negara.

Dia turut mempertahankan peranan warga media yang menurutnya tidak harus dinafikan sumbangannya.

"Saya yakin warga media adalah sama dengan seluruh rakyat Malaysia dalam berkongsi rasa cinta mendalam terhadap Jalur Gemilang.

“Turut penting juga kita tidak harus terus menafikan usaha gigih para wartawan, jurugambar dan petugas media lain di Sin Chew mahupun di mana‑mana organisasi berita," jelasnya.

Pada Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka depannya dalam laporan sempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Bendera Malaysia yang diterbitkan itu tidak memaparkan bulan sabit, sekali gus mengundang kecaman hebat.

Sin Chew kemudiannya memohon maaf atas kesilapan tersebut dan menerbitkan versi pembetulan ilustrasi itu dalam akhbar itu keesokan harinya. Kesalahan itu dikatakan berpunca daripada masalah teknikal.

Sin Chew juga telah menggantung ketua editor yang meluluskan penerbitan ilustrasi tersebut, serta timbalan penyunting yang merupakan pereka grafik imej itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS