Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sekali lagi menegaskan keputusan pemilihan parti pada 16 Mac tidak akan menjejaskan pelantikan menteri dari DAP — walaupun berlaku rombakan kabinet pada Disember apabila tempoh Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz tamat.
Loke berkata dia telah menjelaskan perkara itu sehari selepas pemilihan parti, dengan menekankan bahawa keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak akan memberi kesan kepada jawatan DAP dalam kerajaan persekutuan, khususnya menteri dan timbalan menteri.
“Saya tidak nampak keperluan untuk itu. Jika ada yang mengatakan kita akan merombak (barisan menteri DAP) pada Disember, itu hanyalah spekulasi semata-mata. Saya tiada rancangan sedemikian buat masa ini,” katanya.
Loke berkata demikian dalam satu wawancara podcast berbahasa Cina bersama Malaysiakini, di mana dia mengupas penggal keduanya sebagai setiausaha agung DAP dan barisan kepimpinan baru parti.
Bahagian kedua episod tersebut disiarkan semalam di YouTube, Spotify dan Apple Podcasts.
Ketika ini hanya dua wakil DAP di peringkat persekutuan yang bukan ahli CEC parti iaitu Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.
Lim tewas dalam pemilihan CEC pada 16 Mac lalu, manakala Kulasegaran tidak bertanding.
Prestasi Lim
Ditanya mengenai prestasi Lim sebagai timbalan menteri kewangan, Loke berkata perkara itu perlu dinilai oleh orang ramai.
Namun, dia menegaskan setakat ini, Lim telah melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin.
“Beliau tidak melakukan sebarang kesilapan besar,” tambahnya.
Loke turut menjelaskan bahawa dalam menentukan pelantikan menteri DAP, parti itu perlu mempertimbangkan beberapa faktor — antaranya adalah representasi negeri.
“Kita sudah buat keputusan. Beliau juga merupakan Setiausaha DAP negeri Pulau Pinang. Setiap negeri perlu diwakili secara seimbang — itu antara pertimbangan kita. Beliau juga memainkan peranan dalam parti,” kata menteri pengangkutan itu.
Dalam satu temu bual bersama radio BFM pada 3 Mac, Zafrul mengesahkan akan meletak jawatan sebagai menteri pada pertengahan Disember dan menolak kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil bagi membolehkan dia kembali ke parlimen dan kabinet.
Ini bermakna rombakan kabinet akan berlaku pada Disember bagi mengisi kekosongan jawatan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu.
Selain itu, PKR — yang diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim — juga dijadualkan mengadakan pemilihan pada Mei.
Sebarang perubahan kepimpinan dalam PKR juga boleh membawa kepada perubahan dalam barisan kabinet.
