Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DHPP yakin isu ladang babi haram tak jejas sokongan bukan Melayu pada PN
Diterbitkan:  Apr 19, 2025 12:15 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

PRK AYER KUNING | Seorang pemimpin Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyuarakan keyakinan betapa isu penternakan babi secara haram dalam kempen PRK Ayer Kuning tidak akan menjejaskan sokong pengundi bukan Melayu kepada calon PN.

Naib Ketua DHPP Shawn Loh Sheng Nian berkata pihaknya sebaliknya yakin masyarakat bukan Melayu juga mahukan persekitaran bersih dan sihat.

“Saya yakin kritikan PN terhadap isu pencemaran susulan ternakan babi secara tidak sah di kawasan Ayer Kuning tidak akan jejaskan undi kaum bukan Melayu kepada calon.

“Bagi memastikan kesihatan penduduk dan alam sekitar terjamin, ladang ternakan babi perlu diawasi dan diperiksa sama ada ia masih beroperasi mengikut peraturan. 

“Sekiranya terdapat sebarang aktiviti atau aktiviti haram yang merosakkan alam sekitar, tindakan segera perlu diambil,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Shawn Loh Sheng Nian

Isu ladang ternakan babi antara isu menjadi dalam kempen selepas PN membangkitkan kebimbangan mengenai jumlah ladang babi di kawasan majoriti Melayu di Ayer Kuning.

Menurut Naib Presiden PAS Idris Ahmad, perkara itu dibangkitkan penduduk kepada calon PN Abd Muhaimin Malek baru-baru ini, sambil menambah ladang tersebut boleh mengancam alam sekitar dan kesihatan.  

Katanya, menurut maklumat di laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, terdapat 30 ladang babi berlesen di daerah Batang Padang dan Muallim.

PRK Ayer Kuning pada 26 April ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Muhaimin, calon BN Mohamad Yusri Bakir dan alon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

Terdahulu, Shawn Loh yang juga ketua DHPP Melaka menyertai kempen bagi calon PN Abd Muhaimin Malek di Kampung Baru Coldstream.

Menurutnya, Kampung Baru Coldstream merupakan pusat daerah mengundi dengan jumpah mengundi Cina terbesar.

“Di kampung ini pengundinya memberikan sumbangan 90 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi Cina di DUN Ayer Kuning.

“Semasa lawatan dan pertemuan dengan orang ramai, pengundi agak positif dan bersemangat. Penduduk kampung menyatakan keyakinan mereka terhadap calon PN,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS