Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kerajaan bertindak pantas dalam kes hina PM, tapi lesu untuk kes seperti Zamri’

Proses keadilan berlaku begitu pantas apabila melibatkan tuduhan terhadap pihak yang menghina perdana menteri, namun seolah-olah terganggu atau terhenti dalam soal-soal lain, menurut bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Zaid membangkitkan kes melibatkan pendakwah bebas Zamri Vinoth sebagai contoh utama jurang tersebut.

Pada 12 Mac lalu, polis memaklumkan sebanyak 894 laporan telah dibuat terhadap Zamri selepas dia menyamakan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk dan mabuk.

“Walaupun ia jelas termasuk dalam kesalahan ‘3R’ (kaum, agama dan istana) yang kontroversi, kertas siasatan masih berhabuk di meja Pejabat Peguam Negara (AGC),” kata Zaid kepada Malaysiakini.

Dia berkata lagi, berbeza pula dengan seorang pekerja stesen minyak di Kelantan yang didakwa memuat naik video yang dikatakan menghina Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang dijangka dihadapkan ke mahkamah minggu depan.

“Ini contoh terang-terangan bagaimana kerajaan bertindak pantas terhadap sasaran yang ‘lemah’ namun membutakan mata, memekakkan telinga dan membisu ke atas kes yang berkemungkinan membawa implikasi politik,” dakwanya.

“Apa bezanya kerajaan ini dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini? Namun ada satu perbezaan yang ketara. Perdana menteri sekarang, tidak seperti pendahulunya, pernah menjanjikan ‘fajar baru’ untuk Malaysia – namun janji itu kini dibayangi oleh kegelapan yang sudah terlalu biasa kita lihat,” katanya lagi.

Berhubung kes di Kelantan, Zaid berkata pekerja stesen minyak berusia 25 tahun itu seharusnya mencabar pertuduhan ke atasnya, sambil menekankan komen bersifat kritikal tidak seharusnya secara automatik dianggap sebagai kesalahan jenayah.

“Kita bukan hidup dalam dunia Trump. Perdana menteri pun pernah mengeluarkan kata-kata yang dianggap kasar oleh sejumlah pihak.

“Anwar bukan lagi seorang reformis. Dia bertindak seperti diktator. Gaya kepimpinan seperti ini mewujudkan budaya menakut-nakutkan, dan itulah yang kita saksikan sekarang,” katanya lagi.

Pada Rabu lalu, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata individu tersebut memuat naik video menghina Anwar di TikTok bagi mencetuskan ketegangan awam dan boikot terhadap sambutan Aidilfitri Madani yang diadakan di Pantai Irama, Bachok pada 12 April lalu.

Dia berkata siasatan mendapati tindakan suspek bersifat peribadi dan tidak berkaitan dengan mana-mana parti politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS