Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | PRK Ayer Kuning: Rakyat muak ‘sandiwara’ politik

KOLUM | Tentunya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijadualkan pada 26 April 2025 bakal menarik perhatian ramai, bukan sahaja kerana pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), tetapi juga disebabkan oleh pelbagai isu tempatan dan nasional yang mempengaruhi landskap politik kawasan ini

Dalam situasi landskap politik Malaysia yang penuh dengan kejutan, pergolakan dan drama berterusan, satu perkara tetap jelas: rakyat semakin muak dengan ‘sandiwara’ politik. Apa yang mereka perlukan bukanlah ahli politik yang pandai bercakap sahaja, tetapi pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat. Pemimpin yang turun padang, menjadi jambatan penyelesaian masalah setempat dan membawa perubahan yang nyata.

Kini, tumpuan sekalian rakyat Malaysia kembali terarah ke kawasan Ayer Kuning, susulan pilihan raya kecil yang bakal diadakan. 

Sekali lagi, suara rakyat akan diuji apakah mereka akan memilih berdasarkan wajah yang dikenali, parti yang popular, atau benar-benar menilai siapa yang berhak memegang amanah sebagai wakil rakyat?

Tidak terkecuali, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu minggu ini, bukan sekadar pengisian kekosongan kerusi, tetapi medan ujian yang lebih besar terhadap kekuatan dalaman Barisan Nasional (BN), kesepaduan gabungan Kerajaan Perpaduan di negeri Perak.

Ramai yang lupa bahawa jawatan sebagai wakil rakyat adalah satu bentuk tanggungjawab sosial dan moral, bukan tiket populariti.

Menjadi pemimpin bukan sekadar menghadiri sidang media atau muncul di poster besar.

Ia tentang mendengar rintihan rakyat, bertindak menyelesaikan masalah, dan menunjukkan hasil prestasi yang baik serta dekat di hati rakyat.

Sebahagian besar masyarakat kini lebih celik dan matang.

Mereka tidak mudah dipengaruhi dengan janji-janji manis musim berkempen.

Mereka tahu bahawa negara ini memerlukan pemimpin yang fokus kepada kebajikan rakyat, bukan yang asyik bermain politik kuasa sepanjang masa hingga membuatkan rakyat menjadi muak.

Apa ertinya 'kerja nyata?’

Kerja nyata bukan sekadar membina jalan atau menghadiri majlis-majlis besar. Ia merangkumi:

  1. Kehadiran konsisten di kawasan: Wakil rakyat yang baik mesti mudah didekati dan selalu ada di tengah masyarakat. Mereka bukan hanya ‘wujud’ sewaktu pilihan raya atau program-program besar sahaja.

  2. Menyuarakan isu rakyat pada sidang DUN: Masalah air, harga barang, pendidikan, peluang pekerjaan dan isu tempatan mesti dibawa dengan tegas.

  3. Menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat: Mereka membantu rakyat mendapat akses kepada bantuan, peluang yang pantas serta pembangunan yang adil.

  4. Ketelusan dan kejujuran: Wakil rakyat mesti mengamalkan prinsip akauntabiliti. Tiada rasuah. Tiada salah guna kuasa.

  5. Mengutamakan penyelesaian, bukan drama: Mereka tidak membuang masa bergaduh di media sosial atau menghambur kata-kata kesat. Fokus mereka adalah menyelesaikan masalah, bukan mencipta lebih banyak kekeliruan apalagi kebencian.

PRK Ayer Kuning satu medan penting yang memperlihatkan ke mana arah tuju politik rakyat negeri Perak secara keseluruhannya.

Ia bukan sekadar tentang siapa yang menang atau kalah, tetapi tentang mesej yang dihantar oleh pengundi.

Jika rakyat memilih calon berdasarkan kerja nyata dan rekod perkhidmatan yang bersih juga baik, ini akan menjadi isyarat besar kepada semua parti politik:

"Berhenti berdrama, laksanakan kerja!"

Tetapi jika rakyat masih terpedaya dengan retorik dan kempen penuh emosi tanpa bukti tindakan, rakyat Ayer Kuning akan terus berada dalam kitaran politik yang sama, hanya bising tetapi kosong tindakan.

Berani berubah?

Kerana masa depan negara ini bukan ditentukan oleh ahli politik semata-mata, tetapi oleh kuasa undi rakyat. Undi bukan mainan. Ia adalah senjata demokrasi paling kuat.

Rakyat perlu berani menolak calon yang bermasalah dan akan mencetuskan pelbagai isu antaranya yang nampak muka sewaktu berkempen sahaja, terpalit isu integriti atau rasuah, gagal menunjukkan pencapaian yang baik dan calon yang lebih banyak retoriknya daripada merealisasikan apa yang dijanjikan.

Sebaliknya, rakyat harus angkat pemimpin yang bersih, jujur, dan rajin bekerja. Yang ada visi dan pelan yang jelas untuk majukan Ayer Kuning, bukan semata-mata slogan untuk menarik hati rakyat.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, rakyat telah menyaksikan pelbagai ‘drama politik,’ antaranya lompat parti, perebutan kuasa, krisis pentadbiran dan kenyataan yang saling bercanggah.

Semua ini telah menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat kepada sistem politik negara.

Sejak PRU15 naratif baru telah dapat dilihat. Rakyat tidak hanya menjadi ‘penonton setia’ kepada drama politik.

Mereka terus menjebakkan diri menjadi pemain utama yang mengubah jalan cerita. Lantaran itu PRK Ayer Kuning menjadi medan seterusnya untuk rakyat membuktikannya.

Kita tidak mahu Ayer Kuning menjadi satu lagi kawasan yang 'hilang suara' selepas pilihan raya.

Kita tidak mahu pemimpin yang hanya muncul di pentas ceramah, tetapi ghaib bila rakyat menangis perlukan tempat berpaut menyelesaikan isu atau perkara yang seharusnya wakil rakyat menanganinya.

Sebaliknya, kita mahukan pemimpin yang datang tanpa disuruh, mendengar tanpa syarat, bertindak tanpa tangguh. Kerana pada akhirnya, rakyat tidak mahu drama.

Rakyat mahu pemimpin yang bekerja. PRK Ayer Kuning bukan sekadar tentang satu kerusi, tetapi tentang masa depan satu komuniti.

PRK Ayer Kuning bukan sekadar pertandingan politik biasa, tetapi merupakan cerminan cabaran dan harapan penduduk terhadap masa depan kawasan mereka.

Isu-isu seperti pembangunan infrastruktur, potensi pertanian, akses internet, integriti calon, mahupun dinamika politik perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. 

Adalah penting bagi pengundi untuk membuat pilihan berdasarkan rekod prestasi dan komitmen calon terhadap pembangunan kawasan, bukan semata-mata atas dasar kepartian.

Dengan komposisi pengundi yang terdiri daripada 55.97 peratus Melayu, 22.9 peratus Cina, 14.38 peratus India, dan 7.5 peratus lain-lain, dinamik politik di kawasan ini adalah kompleks. Pengundi bukan Melayu dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya ini. ​

Apa yang pasti, dengan memilih pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat, Ayer Kuning berpeluang untuk mencapai kemajuan yang diidamkan. Sebaliknya, jika drama politik terus mengatasi keperluan sebenar penduduk, impian untuk melihat perubahan positif mungkin akan terus menjadi angan-angan.

PRK Ayer Kuning 2025 pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya negeri Perak 2022.

Pilihan raya ini akan diadakan pada 26 April 2025 berikutan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin pada 23 Februari 2025 akibat serangan jantung.


ATRIZA UMAR felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS