Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan syarikat kuari ceroboh tanah Orang Asli tidak benar - MB Perak
Diterbitkan:  Apr 19, 2025 9:55 AM
Dikemaskini: 1:55 AM

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad menafikan dakwaan sebuah syarikat kuari telah menceroboh tanah warisan Orang Asli di Bidor.

Saarani berkata dia telah merujuk perkara itu kepada Pejabat Tanah dan Galian Perak serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), lapor FMT.

“Kedua-dua agensi negeri dan persekutuan memaklumkan kepada saya bahawa dakwaan itu tidak benar,” katanya.

Pada 11 April lalu, Tok Batin kampung itu, Dahil Yok Chopil berkata penduduk menemui papan tanda di kawasan Jegog, yang memaparkan nama syarikat terbabit dan amaran penceroboh akan dikenakan tindakan undang-undang.

Dia berkata tindakan itu jelas melanggar prinsip Deklarasi PBB Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP), yang menyatakan izin makluman awal bebas dan telus (Free, Prior and Informed Consent) diperlukan daripada komuniti Orang Asli Kampung Chang Lama Sungai Gepai, yang mana tidak pernah diberikan.

Menurutnya projek-projek ini langsung tidak memberikan manfaat dan faedah kepada komuniti Orang Asli, malah merugikan dan menghilangkan hak mereka ke atas tanah dan wilayah adat, menyebabkan mereka terus hidup di bawah garis kemiskinan.

Sebagai respon kepada penduduk kampung, Pengarah Urusan Siong Emas, Tan Ee Tiam menafikan dakwaan pencerobohan.

Sebaliknya dia mendakwa Orang Asli yang telah "menceroboh" tanah tersebut, kerana syarikatnya memiliki hak milik tanah seluas 2.832 hektar yang dikenali sebagai Lot 16225 di Batang Padang.

Syarikat itu pertama kali diberikan pajakan 30 tahun di kawasan tersebut pada 14 Feb 2007, yang tamat tempoh pada 26 Mei 2022, dan kemudian dilanjutkan selama 44 tahun lagi.

Semalam, kumpulan alam sekitar Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mempersoalkan bagaimana syarikat itu diberikan pajakan ke atas tanah warisan Orang Asli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS