Nota editor: Artikel ini telah dipinda susulan penjelasan oleh Haniff Khatri Abdulla berkenaan beberapa peruntukan undang-undang yang dinyatakannya sebelum ini.
Seorang peguam berpengalaman berhujah bahawa usaha reformasi kehakiman berterusan kerajaan harus merangkumi pindaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2009 untuk mengehadkan kuasa perdana menteri dalam pelantikan hakim mahkamah atasan.
Peguam Haniff Khatri Abdulla, sebagai tetamu dalam podcast KiniTV Bahasa Malaysia yang turut menampilkan bekas duta Malaysia ke AS, Nazri Abdul Aziz, berkata pindaan itu boleh dibuat kepada tiga bahagian khusus akta berkenaan - Seksyen 5, Seksyen 27 dan Seksyen 28.
“Mengenai cadangan supaya ketua hakim negara yang akan bersara mencadangkan nama untuk pengganti, saya rasa itu tidak begitu tepat.
"Macam mana kita nak pastikan neutraliti? Bagaimana kita nak tentukan ketua hakim yang akan bersara tidak pilih kasih rakan dia?" soal Haniff.
Haniff, yang dikenali sebagai peguam kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, berkata demikian dalam mempertahankan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap spekulasi campur tangan eksekutif dalam proses pelantikan hakim.
Nazri sebelum ini mempersoalkan alasan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat dakwaan berkenaan semasa ucapan di Malta baru-baru ini, ketika dia sudah hampir bersara.
Dalam episod podcast KiniTV, bekas menteri undang-undang itu mengulangi bahawa adalah "tidak wajar" untuk berbuat demikian tanpa "bukti" dakwaan campur tangan ke dalam badan kehakiman.
Bertentangan dengan kritikan terhadap kenyataan Tengku Maimun, Haniff berkata dia mendapati Tengku Maimun tidak membuat sebarang rujukan langsung terhadap dakwaan campur tangan Anwar, dan sebaliknya persoalan yang dibangkitkan telah lama dibincangkan sebagai sebahagian daripada reformasi kehakiman yang diperlukan.
Mengulas lanjut, Haniff berkata SPK ditubuhkan pada 2009 untuk memperbaharui proses pelantikan, namun masih terdapat isu di bawah Seksyen 5 yang menetapkan komposisi sembilan anggotanya.
"Bagaimana kita nak pastikan JAC berkecuali, bukannya majoriti dilantik perdana menteri? Itu isu utama," katanya.

Tengku Maimun dilaporkan menyarankan agara peranan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman disingkirkan, kerana ia "akan mengukuhkan kesaksamaan proses pemilihan" dan memastikan ia "kekal bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik."
SPK yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara juga terdiri daripada presiden Mahkamah Rayuan; Hakim Besar Malaya di Mahkamah Tinggi; Ketua Hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak; seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang akan dilantik oleh perdana menteri; dan empat orang terkemuka yang dilantik oleh perdana menteri berdasarkan perundingan dengan pihak berkepentingan.
“Kedua, seksyen 27 menyatakan sekiranya syor JAC (di bawah seksyen 6) tidak menarik perhatian perdana menteri, perdana menteri boleh meminta dua nama lagi.
“Ketiga, Seksyen 28 menyatakan bahawa jika perdana menteri telah memutuskan untuk menyerahkan nama yang dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong, maka perdana menteri boleh meneruskannya,” katanya.
“Apabila dibaca bersama, Seksyen 5, Seksyen 27 dan Seksyen 28, bermakna perdana menteri boleh pada bila-bila masa, dan saya bukan hanya bercakap tentang perdana menteri sekarang, menolak saranan SPK.
"Jadi itulah isu hari ini," tegasnya.
Di Malaysia, pelantikan kehakiman dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

Melangkah ke hadapan, Haniff mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Diraja (Royal Committee) untuk membincangkan semua cadangan pembaharuan kehakiman, termasuk mengenai pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.
“Bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh menggubal undang-undang untuk memisahkan kuasa daripada jawatan mereka? Itu adalah konflik kepentingan.
"Sebenarnya perkara sebegini harus dijalankan oleh institusi perlembagaan," hujahnya.
"Begitu juga dengan SPK, yang sepatutnya menjadi institusi perlembagaan. Ini terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong," kata Haniff.
Dia menambah Jawatankuasa Diraja tu perlu diberi tempoh masa untuk mengemukakan cadangannya yang akan dibentangkan di parlimen untuk tindakan selanjutnya.
Dalam perbualan dengan Haniff, Nazri menegaskan bahawa dia mempunyai pendapat berbeza, bahawa Tunku Maimun dalam ucapannya telah menyentuh tentang cadangan pindaan undang-undang yang terletak di bawah bidang kuasa legislatif.
“Jika ketua hakim negara bercakap tentang pindaan kepada perlembagaan untuk keluarkan perdana menteri daripada tanggungjawab buat pelantikan (hakim), itu sudah menyentuh hal parlimen.
"Kita patut hormat. Jangan hanya minta dihormati," kata bekas Ahli Parlimen Padang Rengas enam penggal itu yang kekal sebagai ketua Umno bahagian berkenaan.
Orang lain yang telah mempertahankan Tunku Maimun daripada kritikan Nazri termasuk seorang lagi bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, dan bekas timbalan menteri undang-undang, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.
