Ekonomi Malaysia terlepas sasaran pertumbuhannya walaupun sebelum pengumuman tarif Presiden Amerika Syarika (AS) Donald Trump.
Bloomberg yang memetik anggaran awal daripada Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini melaporkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat 4.4 peratus dalam tempoh Januari-Mac berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, angka itu di bawah anggaran median 4.8 peratus dalam tinjauannya yang sekali gus menandakan suku ketiga berturut-turut pertumbuhan yang perlahan.

Data yang mengecewakan itu muncul ketika pembuat dasar menyemak semula unjuran pertumbuhan rasmi 4.5 peratus hingga 5.5 peratus untuk 2025 memandangkan ketidaktentuan perdagangan global.
Bloomberg mengaitkan kejatuhan itu disebabkan pengurangan aktiviti dalam sektor pembuatan dan pembinaan, di samping penguncupan 4.9 peratus dalam sektor perlombongan dan kuari.
Bagaimanapun, sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.2 peratus, mengekalkan kestabilan ekonomi keseluruhan dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global, khususnya berkaitan tarif AS.
“Pertumbuhan KDNK Malaysia kekal teguh di tengah-tengah tekanan global yang berterusan, disokong oleh asas domestik yang berdaya tahan,” kata Ketua Perangkaan Uzir Mahidin.
Dengan kelembapan itu, penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengurangkan kadar faedah untuk merangsang pertumbuhan.

Pengawal selia sebelum ini menyebut ia akan melihat di luar dasar monetari untuk menangani kejatuhan tarif.
“BNM berkemungkinan akan mengekalkan kadar faedah melainkan pertumbuhan jatuh bawah tiga peratus pada separuh kedua tahun ini, yang akan meningkatkan kes untuk pelonggaran,” kata laporan Kenanga Investment Bank Bhd yang bertarikh 14 April.
Kali terakhir BNM melaraskan kos pinjaman adalah pada Mei 2023, dengan kenaikan 25 mata asas.
Pada 3 April lalu, Trump mengenakan tarif ke atas banyak negara, termasuk Malaysia.
Pemimpin Republikan itu mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua negara, dengan Malaysia menerima tamparan sebanyak 24 peratus "tarif timbal balik".

Bagaimanapun, Trump kemudiannya menangguhkan tarif timbal itu balik selama 90 hari tetapi mengekalkan tarif asas.
Pada 11 April, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Zafrul Abdul Aziz memberitahu CNBC bahawa Malaysia, sebagai pengerusi Asean tahun ini, telah meminta sidang kemuncak khas AS-Asean untuk membincangkan isu tarif.
Dia juga mengesahkan bahawa semua pemimpin Asean bersetuju untuk ke AS bagi berjumpa dengan Trump semasa sidang kemuncak itu.
