Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke tetapkan masa berundur, sasar reformasi lebih berani untuk DAP

Memasuki penggal kedua sebagai Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhasrat memacu reformasi institusi yang lebih berani dalam parti itu dan menggariskan perancangan untuk berundur sepenuhnya selepas berkhidmat selama tiga penggal.

Loke berkata, meskipun dunia politik penuh dengan ketidaktentuan, hasratnya tetap tidak berubah iaitu untuk bersara selepas tiga penggal menjadi Setiausaha Agung tanpa mengejar jawatan lain dalam parti, termasuk Pengerusi Kebangsaan atau ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Dalam temu bual bersama Malaysiakini baru-baru ini, dia menjelaskan bahawa perlembagaan DAP mengehadkan jawatan setiausaha agung kepada tiga penggal, dan dia mahu menentukan sendiri bila waktu sepatutnya untuk berundur.

“Bagi saya, pemimpin politik – terutamanya yang berada di kedudukan tertinggi dalam parti atau kerajaan – perlu tahu bila masanya untuk berundur, dan keputusan itu harus datang daripada diri sendiri, bukan menunggu orang lain tentukan.

“Saya mahu bersara ketika berada di puncak – bukan tunggu sampai orang sudah tidak mahu saya lagi. Itu bukan cara saya. Saya mahu tentukan sendiri laluan dan perjalanan politik saya,” kata Menteri Pengangkutan itu dalam satu podcast berbahasa Cina.

Podcast tersebut dirakam pada 8 April dan bahagian kedua episod itu disiarkan di YouTube, Spotify dan Apple Podcasts hari ini.

Loke berkata dia setuju dengan keputusan diambil oleh bekas ahli CEC DAP, Teng Chang Khim untuk meletakkan jawatan.

“Dia (Teng) sendiri buat keputusan – untuk bersara sepenuhnya dan tidak memegang sebarang jawatan. Saya bersedia melakukan perkara yang sama,”katanya.

Loke berkata dia kini memegang jawatan menteri kabinet dan setiausaha agung DAP yang disifatkan sebagai kemuncak kerjaya peribadi dan politiknya – yang membolehkannya melaksanakan reformasi dan merealisasikan aspirasi politik.

“Tapi saya juga sedar bahawa kehidupan politik tidak sentiasa berjalan lancar. Ada yang hargai kita, ada juga yang tidak setuju.

“Bagi saya, saya patut bersara ketika di puncak,” kata Loke yang kini berusia 48 tahun, dan akan mencecah 51 tahun apabila menamatkan penggal kedua.

Bersara sebelum umur 55

Dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP pada 2022, penggal ketiga akan menyaksikan Loke berkhidmat sehingga 2031 dan bersara pada usia 54 tahun.

Sekiranya terus mendapat sokongan parti, Loke berkata penggal ketiganya akan dikhususkan untuk melaksanakan lebih banyak reformasi.

“Saya berharap sepanjang sembilan tahun ini saya dapat membawa perubahan yang saya impikan – membentuk DAP mengikut idealisme saya, dan melaksanakan reformasi institusi yang memberi kesan berpanjangan. Selepas itu, tiba masanya generasi baru ambil alih,” katanya,

Sambil tertawa, Loke berkata jika mengikut perancangan, dia akan menyerahkan kepimpinan dan bersara sebelum mencecah umur 55 tahun, dan tidak akan bertanding semula sebagai ahli parlimen atau Adun.

“Tetapi saya telah kumpulkan banyak pengalaman, terutamanya dalam sektor pengangkutan – pelabuhan, lapangan terbang, pengangkutan awam. Walaupun saya tidak lagi berada dalam politik atau bertanding pilihan raya, masih banyak cara saya boleh menyumbang kepada negara dan masyarakat,”ujarnya.

Sebelum pemilihan parti, Loke berjanji melakukan rombakan besar dan berani dalam barisan CEC. Dia juga mengusulkan beberapa reformasi dalaman termasuk menilai semula proses pemilihan calon parti yang sering dikritik.

Bermula penggal kedua, Loke mula melaksanakan perubahan ini, termasuk melibatkan ahli akademik dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat, untuk membantu memperbaiki mekanisme pemilihan calon DAP.

PRU akan datang dan penggal ketiga

Dia menegaskan bahawa misi utama bagi penggal ini adalah untuk memimpin DAP mempertahankan 40 kerusi parlimen, terus menjadi sebahagian daripada kerajaan, dan mengukuhkan peranan parti dalam gabungan tersebut.

“Jika saya berkhidmat selama tiga penggal penuh, bermakna saya akan mengetuai parti melalui dua pilihan raya umum. Harapnya saya dapat bersara setelah mencapai apa yang saya rancang,” katanya.

Namun, dia mengakui bahawa keputusan pilihan raya umum akan datang mungkin akan menentukan bagaimana parti menguruskan pemilihannya pada 2028.

Sekiranya semuanya berjalan lancar, kata Loke, penggal terakhirnya akan memberi ruang untuk memperkenalkan reformasi yang lebih berani.

“Sekarang, saya belum boleh buat sepenuhnya. Tapi dalam penggal terakhir, saya akan jadi lebih berani – tiada apa yang perlu hilang, dan tidak takut menyinggung sesiapa,” katanya.

Loke mengakui bahawa usahanya mendorong reformasi mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan pemimpin senior, namun dia menegaskan keutamaannya adalah memastikan parti itu kekal kuat.

Atas sebab itu, dia percaya parti itu perlu kekal muda dan memberikan peluang kepada golongan muda untuk memimpin.

“Kalau kita tak mula beri peluang sekarang kepada mereka yang berusia 20-an dan 30-an, parti akan menjadi tua dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang.

“Saya sudah lihat perkara ini berlaku dalam banyak parti lain. Sebab utama mereka merosot hari ini ialah kerana kurangnya reformasi dan pembaharuan.

“Apabila sesuatu parti menjadi tua, pelbagai masalah akan mula timbul,” katanya menutup perbualan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS