Bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) mempersoal tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang memasuki premis Menara Kuala Lumpur bagi menyita dan mengusir mereka sedangkan isu berkenaan telah dibawa ke mahkamah.
Pengarah urusan MKLSB, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, berkata sepatutnya isu berkenaan kekal sebagai status quo sehingga mahkamah membuat keputusan dan pihaknya tidak patut diusir.
Abdul Hamid mendakwa tiada pihak yang sepatutnya mengganggu status quo sehingga tarikh perbicaraan.
"Bila ada sesuatu fail di Mahkamah, keadaanya sepatutnya status quo. Mana-mana pihak lain tidak sepatutnya mengganggu status quo itu sehingga tarikh perbicaraan.
"Tarikh pendengaran (prosiding mahkamah) itu 9 Jun," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Abdul Hamid berkata, dia kesal dengan tindakan pihak kerajaan yang berulang kali cuba menyita dan mengusir mereka dengan menggunakan agensi penguat kuasa seperti polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan terbaru operasi berskala besar yang dilakukan pada lewat malam Rabu yang melibatkan Kementerian Komunikasi dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
"Lebih mendukacitakan, operasi ini turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LSHSM, Khairil Faizal Othman bersama kakitangan syarikat berkenaan.
"Kami turut menafikan bahawa Menara Kuala Lumpur ditutup bagi tujuan penyelenggaraan seperti dinyatakan dalam notis awam, sebaliknya, ia merupakan penyitaan dan pengusiran paksa," tambahnya.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mempertahankan tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk menguatkuasakan pengusiran terhadap bekas pengendali Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB).
Bercakap semasa sidang media di Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam Fahmi mengulangi bahawa Menara Kuala Lumpur dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, dan pengurusan konsesi baru telah mengambil alih sejak 1 April lalu.
“Atas sebab-sebab tertentu, ada yang sudah dilaporkan media, ada yang belum, jadi saya mahu beritahu, syarikat lama enggan keluar walaupun konsesi mereka tamat 31 Mac lalu.
“Maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bertindak berdasarkan undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 425 Kanun Tanah Negara untuk memasuki premis Menara KL pada jam 12.30 tengah malam Rabu lalu,” katanya.
