Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada maaf bagimu' - Perkasa tuntut dua editor Sin Chew dipecat

Beberapa aktivis hak Bumiputera menggesa pihak pengurusan Sin Chew Daily memecat dua pengarangnya berhubung ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka depan akhbar itu.

Bercakap kepada wartawan di luar ibu pejabat akhbar berbahasa Cina itu di Petaling Jaya, Ketua Pemuda Perkasa Zool Amali Hussin dan lapan yang lain menolak permohonan maaf Sin Chew Daily berikutan kesilapan akhbar tersebut.

"Kami Wira Perkasa Malaysia menolak permohonan maaf. Tiada maaf bagimu.

"Kami menuntut syarikat ini memecat kedua-dua editor itu.

“Jika tidak, Wira Perkasa Malaysia menggesa kerajaan, Kementerian Dalam Negeri menggantung lesen penerbitan kepada Sin Chew Daily kerana ia jelas mencalarkan imej Malayisa," kata Zool Amali, juga dikenali sebagai Bozz Jebat.

Sebuah kereta peronda polis dilihat berada di hadapan pintu masuk ke pejabat Sin Chew hari ini, manakala sekumpulan anggota polis berpakaian seragam dan biasa dilihat memantau himpunan yang berlangsung selama kira-kira 20 minit itu.

Pada Selasa lalu, akhbar itu menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapannya, sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Bagaimanapun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak mengandungi lambang bulan sabit, menyebabkan akhbar ini menerima kecaman.

Sin Chew kemudiannya memohon maaf atas kesilapan tersebut dan menerbitkan versi pembetulan ilustrasi itu dalam edisi keesokan harinya. Akhbar itu juga mendakwa ia berpunca daripada kesilapan teknikal.

Semalam, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan ketua editor dan timbalan ketua penyunting Sin Chew Daily telah ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Sin Chew turut menggantung tugas ketua editor yang bertanggungjawab meluluskan penerbitan ilustrasi berkenaan, serta timbalan ketua penyunting yang merupakan pereka grafik bagi ilustrasi tersebut.

‘Baik berambus dari Malaysia’

Zool Amali berkata, mereka telah membuat satu lagi laporan polis pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menuntut siasatan terhadap tindakan yang didakwa “menghina dan mencemarkan kedaulatan negara” melalui tindakan “menghilangkan” lambang bulan sabit pada Jalur Gemilang yang membawa maksud Islam sebagai agama persekutuan.

“Saya nak jadi cikgu hari ini, saya nak mengajar dia apa maksud anak bulan.

"Anak bulan ni membawa maksud Islam sebagai agama rasmi negara.

"Kalau boleh wakil Sin Chew Daily boleh hadir sekarang ni, saya nak ajar dia apa maksud bendera jalur Gemilang.

“Dah bertahun duduk Malaysia tak tahu lagi maksud Jalur Gemilang. Baik berambus daripada negara Malaysia ni. Tak guna jadi warga Malaysia tapi tak tahu maksud Jalur Gemilang,” tegasnya.

Seorang wakil dari pasukan editorial Sin Chew menerima memorandum bantahan bagi pihak pengurusan.

Sementara itu Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mendakwa ini bukan kali pertama sebuah akhbar menerbitkan ilustrasi yang dianggap menghina Islam, justeru tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran.

“Kalau kita tanya budak Darjah Satu pun tahu bendera Malaysia.

“Kita ni negara berbilang bangsa, saya rasa bukan saja Perkasa perlu pertahankan kedaulatan negara, anda semua pun sama.

“Saya amat yakin sebelum akhbar ini dicetak, editor telah menyemak perkara ini, dan saya menolak kemungkinan (perkara) ini tidak disengaja, terkhilaf dan sebagainya dengan pelbagai alasan, kita tak nak dengar.

“Sekarang kita minta mereka pecat dua orang yang bertanggungjawab ini dan selepas ini kita sendiri akan pergi ke KDN. Kita bagi mereka ini beberapa hari, bukan sekadar gantung. Kami tak nak gantung, ini sekadar cakap, kita tak tak nampak.

Katanya, kehadiran mereka di Ibu Pejabat Sin Chew hari ini juga sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Zool juga ditanya apakah tindakan menggantung lesen akhbar berkenaan adalah adil untuk kakitangan lain.

Ini kerana tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 itu akan menjejaskan seluruh kakitangan akhbar berkenaan dan bukan hanya individu yang didakwa bertanggungjawab.

Bagaimanapun Zool tetap bertegas bahawa ia adalah tindakan yang wajar diambil oleh kerajaan sebagai pengajaran kepada seluruh kakitangan akhbar tersebut .

Penubuhan Majlis Media

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta wartawan veteran A Kadir Jasin menyuarakan harapan agar Majlis Media Malaysia yang bakal ditubuhkan menjadi platform terbaik untuk menangani kesilapan seperti ini oleh mana-mana akhbar.

Fahmi juga memaklumkan dia telah bertemu dengan pihak pengurusan Sin Chew bersama timbalannya, Teo Nie Ching, dan memaklumkan bahawa siasatan akan diteruskan.

Selain disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS