Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) meluahkan kebimbangan susulan satu program di UiTM yang menyaksikan sekumpulan pelajarnya memakai kostum seperti kumpulan Ku Klux Klan (KKK).
Dalam satu kenyataan, PSM mempersoalkan apa sebenarnya yang sedang diajarkan kepada para pelajar universiti di Malaysia.
“Bukan rakyat Malaysia tak tahu apa itu aktiviti berbaur perkauman. Malah, banyak tindakan dan ucapan seperti itu sudah menjadi perkara biasa di negara ini.
“Tetapi apabila perarakan yang dikaitkan dengan ekstremisme berlaku di tempat seperti UiTM, kita harus bertanya kepada diri sendiri… apa sebenarnya yang kita ajarkan kepada generasi masa depan?” soal Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Arveent Kathirtchelvan.
Pada 15 April lalu, UiTM mempertahankan perarakan kumpulan pelajar tersebut selepas video mengenainya tular di media sosial.
Universiti itu menjelaskan perarakan tersebut adalah sebahagian daripada tugasan akademik yang bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
"Dalam sesi tersebut, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
"Kostum serta elemen visual yang digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global.
“Pendekatan visual yang digunakan adalah sebahagian daripada kaedah pedagogi bagi menyokong penyampaian berimpak tinggi dalam kelas, selaras dengan objektif kursus yang mendorong pemikiran analitik serta kesedaran sivik dalam kalangan pelajar,” kata kenyataan itu.

Ungkapan kebencian
Pun begitu, Arveent mempersoalkan kewajaran pelajar berpakaian seperti ahli KKK walaupun mengetahui sejarah kejam kumpulan itu terhadap golongan yang tidak bersalah.
“Jika mereka tidak tahu, mengapa mereka tidak dididik mengenainya? Adakah modul di UiTM atau universiti lain tidak mencukupi untuk memberi pendidikan tentang kumpulan kebencian seperti ini?
“Atau adakah kita sebagai masyarakat sudah mula selesa dengan ungkapan kebencian?” soalnya lagi.
Sebagai contoh, Arveent menegaskan rakyat Malaysia lazimnya mendiskriminasi individu berkulit gelap ketika menyewakan bilik atau rumah.
“Malah, ada parti politik kita yang terus menggunakan retorik memecahbelahkan masyarakat demi meraih undi.
“Lihat sahaja media sosial. Orang awam pun sering membuat kenyataan berbaur kebencian terhadap komuniti lain,” tambahnya.
Reformasi institusi sosial
Sehubungan itu, pemimpin PSM itu menggesa kerajaan melakukan reformasi terhadap institusi sosial bagi mendidik masyarakat agar menghormati kepelbagaian.
“Sistem pendidikan, institusi agama dan media massa kita harus memainkan peranan dalam hal ini.
“Kerajaan juga perlu menggubal undang-undang yang lebih tegas supaya mangsa perkauman dan diskriminasi mendapat keadilan,” kata Arveent.
Namun, dia meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan Madani yang kerana masih belum mengambil langkah menangani isu tersebut, walaupun mendakwa memperjuangkan agenda reformasi.
“Malah pembangkang arus perdana pun nampaknya tidak berminat untuk membina sebuah Malaysia yang harmoni dan sensitif terhadap kepelbagaian masyarakat kita,”katanya.
