Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak ada isu perkauman di sini, kata pengundi Ayer Kuning

Dalam kehangatan isu kaum dan agama yang seolah-olah tidak berkesudahan di negara ini, para pengundi di Ayer Kuning nekad mempertahankan keharmonian di kawasan itu.

Sikap hormat-menghormati dan persefahaman yang terbina antara penduduk digambarkan oleh Suriati Shairi, 41, seorang penjual nasi lemak yang lahir dan membesar di Ayer Kuning.

"Tak ada isu perkauman di sini, kedai saya orang Cina dan India juga datang. Bila ada isu seperti ini kita rasa sedih, takut berjangkit ke tempat kita.

"Apabila PRK, orang luar akan datang ke tempat kami, biasanya orang luar yang buat masalah, bukan orang tempatan," katanya ketika ditemui di gerai miliknya.

Bagi Suriati dan ramai lagi pengundi yang ditemui Malaysiakini, isu seperti pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur tidak mempunyai kaitan dengan mereka.

Namun begitu, Suriati tetap meluahkan kebimbangan bahawa konflik yang berlaku di tempat lain mungkin terjadi di situ.

Ibu kepada tiga anak itu berkata kebiasaannya ‘orang luar’ yang datang ketika kempen pilihan raya adalah pihak yang gemar mencetuskan sentimen yang tidak diingini dalam kalangan penduduk tempatan.

"Bila orang luar datang biasanya akan jadi satu masalah," katanya.

Pandangan Suriati turut dikongsi salah seorang pelanggannya, Sanuar Kamaruddin, 53, yang berkata masyarakat Ayer Kuning hidup dalam keadaan harmoni dan jika ada masalah sekali pun, ia masih dalam keadaan terkawal.

Komposisi pengundi Ayer Kuning terdiri daripada 56 peratus Melayu, 22 peratus Cina, 14 peratus India dan 8 peratus Orang Asli.

Beberapa pemerhati politik sebelum ini menjangkakan isu pemindahan kuil di Jalan Masjid India berkenaan akan digunakan oleh calon-calon yang bertanding, dengan parti-parti politik mengambil pendekatan berbeza dalam memanfaatkan isu tersebut.

Kesan terhadap anak-anak

Bagi suri rumah Jayamary Anthony Samy, 51, yang enggan mengulas lanjut berkenaan isu kuil tersebut, perkara itu langsung tidak memberi kesan kepada kehidupan harian masyarakat di Ayer Kuning.

"Kami di sini bersatu padu, (isu kuil) tak beri kesan di sini, tak ada gaduh atau perselisihan faham.

“Semalam di dewan sini ada senaman aerobik, orang Melayu pun ajak kita masuk. Lepas tu kita makan nasi lemak sama-sama,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Azhar Kalikurahman, 45, yang ditemui selepas berniaga di pasar pagi Kampung Batu Tiga, berkata kerajaan perlu menangani isu perkauman dan agama yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Katanya, dia bimbang generasi akan datang mungkin tidak akan merasai keamanan dan keharmonian yang dinikmati oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini sekarang.

"Kesan dia bukan sekarang tapi lima tahun ke hadapan, budak-budak kecil, kita yang dewasa (Sekarang) masih berkawan (dengan pelbagai kaum) tapi hubungan akan jadi renggang, tak nak jadi macam tu.

“Tak nak lima tahun ke depan benda ni kerajaan dah tak boleh control, mana-mana kerajaan pun (nanti) tak boleh control,” katanya.

Ditanya pandangannya berkenaan cara kerajaan menangani isu pemindahan kuil tersebut, Azhar berkata pihak berkuasa sepatutnya menjelaskan bahawa ia merupakan isu perundangan dan perlembagaan, dan bukannya berkaitan perkauman.

Pandangan Azhar turut dikongsi seorang lagi peniaga di lokasi berbeza, Abdul Karim Ahmad, 54.

Katanya, sebagai seorang Muslim, dia menyokong keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan kuil berkenaan.

Katanya, ada juga kuil di Ayer Kuning dibina secara haram di atas tanah milik pihak lain, namun ia tidak dipertikaikan.

Tanpa memperincikan lebih lanjut, dia mengaitkan Ayer Kuning terletak dalam kawasan Parlimen Tapah yang diwakili oleh Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.

'RIsau juga isu ketegangan sampai sini, tapi kita ada NGO untuk kita, jadi okay la," katanya.

Pengundi India berbeza pandangan

Bagaimanapun pandangan berbeza dalam kalangan pengundi India sendiri.

Ketika ditemui, ada yang bersetuju kuil tersebut dipindahkan, dan ada pula yang mahu ia kekal di lokasi sedia ada.

Thavakumari Ramakrishnan, 60, berkata dia membaca di akhbar bahawa kuil tersebut tidak mempunyai geran, dan oleh itu, tindakan pihak berkuasa adalah wajar.

"Kalau you mahu sembahyang, you beli la satu tempat dan buat elok-elok, dan orang tak boleh kacau.

"Saya sudah 60 tahun lahir sini sampai sekarang, sini tak ada gaduh, tak ada masalah, tapi saya tengok di tiktok, tempat luar semua banyak gaduh," katanya ketika ditemui selepas membeli barangan dapur.

Namun begitu, seorang lagi warga emas, Letchumy Arumugam, 74, membantah pemindahan kuil tersebut dan meluahkan rasa marah kerana ia melibatkan tempat ibadat.

'You punya tempat you bikin tepi la, nak pecah banyak susah, saya pun sembahyang, you pun sembahyang,” ujarnya.

PRN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PN, Abd Muhaimin Malek, calon BN, Yusri Bakir dan calon PSM, Bawani KS.

Kerusi tersebut yang dikosongkan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 26 April ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS