Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM, Kementerian Ekonomi tubuh pasukan pantau projek negeri, daerah
Diterbitkan:  Apr 18, 2025 8:15 AM
Dikemaskini: 12:15 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Ekonomi sepakat menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau projek yang diluluskan di peringkat negeri dan daerah.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua pihak akan bertukar maklumat berhubung jumlah peruntukan yang diluluskan kementerian berkenaan.

“Ia termasuk menjalankan pemeriksaan mengejut dan siasatan kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pelaksanaan projek yang telah diluluskan,” menurut kenyataan itu, semalam.

Pasukan khas berkenaan juga akan mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam Tatacara Pelaksanaan dan menambah baik prosedur operasi standard ke arah pengurusan tatakelola dalam penentuan serta penyaluran bajet, pemantauan dan pelaksanaan projek dengan lebih berkesan.

Kenyataan itu turut memaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengalu-alukan keseriusan dan keterbukaan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dalam memastikan ketelusan bagi mengekang ketirisan projek yang diluluskan kementerian itu, dan langkah berkenaan wajar dicontohi oleh kementerian dan agensi lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS