Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Di penghujung karier almarhum Abdullah Ahmad Badawi, rakyat Malaysia dipengaruhi oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.  

Kononnya almarhum lemah memerintah negara, kerap tertidur dan pelbagai lagi tohmahan yang berobjektif agar rakyat Malaysia lupa segala kebaikan almarhum.  

Dr Mahathir dilaporkan marah kerana pelbagai projek mega seperti Jambatan Bengkok yang dirancang sebelum persaraan pusingan pertama beliau tahun 2003 dibatalkan oleh Abdullah. 

Pembinaan jambatan bengkok jika diteruskan hanya membuktikan sikap keras kepala Dr Mahathir terhadap Singapura. 

Dr Mahathir mahu membina jambatan separuh sahaja di sebelah Malaysia manakala separuh lagi terpulang pada Singapura hendak bina atau tidak. 

Ini ialah sikap mencetuskan provokasi kepada kedaulatan negara jiran. 

Bagaimanapun, dengan bijak ia dibatalkan oleh Abdullah atas semangat memelihara kesejahteraan sesama negara jiran yang juga ahli kumpulan negara-negara Asean.  

Justeru Abdullah bersara tetapi ia kekal dipersenda oleh kumpulan penyokong kuat Dr Mahathir. 

Malah Muhyiddin Yassin menjadi pencetus kemarahan Abdullah kerana mempercepat kejatuhan almarhum dengan melanggar perjanjian awal dengan memaksa pelantikan Najib Razak sebagai perdana menteri seperti yang dimahukan Dr Mahathir.

Dr Mahathir ketika itu masih berpengaruh sekalipun berada di luar kerajaan. 

Abdullah dalam ucapan terakhir secara terbuka memaafkan semua pihak yang berkaitan.  

Di zaman almarhum diluluskan dua akta terpenting negara. 

Pertama ialah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, rentetan daripada proses awal pindaan akta lama oleh Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998, ketika Dr Mahathir bercuti panjang di luar negara.

Seperti yang diketahui begitu banyak projek mega negara semasa pemerintahan Dr Mahathir diperoleh kenalan-kenalan rapanyat dan allahyarham Daim Zainuddin. 

Malah salah seorang anak Dr Mahathir memperolehi kontrak membina fiber optik kabel dasar laut internet yang menghubungkan Semenanjung dan Sabah Sarawak ketika belum berusia 30 tahun lagi umurnya. 

Tidak lama selepas Dr Mahathir kembali berkuasa secara tipu helah kepada Kerajaan PH 1.0 pada tahun 2018, anaknya itu mengumumkan penjualan saham-saham yang dimiliki dalam syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. 

Justeru ini amat tidak selari dengan dakwaan Dr Mahathir yang semasa beliau menjadi perdana menteri pusingan pertama daripada tahun 1982-2003, kononnya tiada anak-anak beliau mendapat apa-apa faedah. 

Kononnya semua mereka berniaga di luar negara sahaja.  

‘Correct, correct, correct’

Kedua, satu lagi akta terpenting yang diluluskan di zaman Abdullah ialah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta JAC). 

Anwar sebagai ketua pembangkang ketika itu turut mengambil bahagian dalam perdebatan sebelum rang undang-undang berkenaan diluluskan dan dikuatkuasakan sebagai akta yang diluluskan parlimen. 

Akta JAC diusulkan oleh Jabatan Peguam Negara kepada kabinet untuk dibawa ke Dewan Rakyat setelah mengkaji prosedur pelantikan kehakiman di beberapa negara terpilih seluruh dunia. 

Akta ini diperkenalkan selepas peristiwa perbualan telefon VK Lingam–”correct, correct, correct”– rakaman video tahun 2002 tersebar luas yang mengatur jawatan serta kenaikan pangkat hakim.

Perbualan itu pula dibuktikan semasa prosiding suruhanjaya siasatan diraja pada tahun 2007, bahawa VK Lingam bercakap dengan seorang pemegang jawatan tertinggi kehakiman negara ketika itu yang juga dikenal pasti secara positif.

Amat relevan disebut tahun 2002, Dr Mahathir masih lagi perdana menteri keempat manakala pada tahun 2007, bila suruhanjaya diraja dibentuk susulan rakaman  VK Lingam, Abdullah menjadi perdana menteri kelima.

Bawah Akta JAC 2009, kuasa akhir perlantikan hakim-hakim diberikan kepada perdana menteri selepas menerima senarai cadangan nama-nama hakim yang diluluskan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. 

Perdana menteri boleh meminta senarai lain diserahkan jika beliau mahukan senarai lain.

Namun kelemahan akta ini ialah perdana menteri tidak diwajibkan menerima senarai itu untuk dipersembah untuk pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong. 

Mungkin juga terdapat sedikit kelemahan daripada prosedur pengendalian penyerahan senarai nama hakim kepada pejabat Majlis Raja-Raja untuk persediaan majlis rasmi perlantikan oleh Agong. 

Apakah ada kemungkinan senarai berkenaan boleh ditukar di saat akhir? 

Mungkin inikah skop siasatan yang dimahukan Majlis Peguam sewaktu meluluskan usul dalam mesyuarat agung Badan Peguam Malaysia pada Ramadan lalu yang mahu siasatan dilakukan terhadap kemungkinan wujud elemen campur tangan lain selain daripada JAC dalam melantik hakim. 

Satu lagi aspek yang menarik untuk diteliti ialah sama ada wujud 'nota nasihat' kepada perdana menteri agar menggunakan sepenuhnya kuasa bawah Perlembagaan Persekutuan dan mengabaikan Akta JAC sekiranya dia masih tidak boleh menerima senarai nama yang diserahkan oleh JAC.  

Nota nasihat tersebut sekiranya wujud perlu disiasat daripada aspek ia diberikan oleh seseorang daripada luar JAC dan kemungkinan juga mempunyai kepentingan untuk mendapat faedah daripada nota nasihat tersebut. 

Dalam aspek ini juga Anwar mungkin boleh bermuhasabah serta membuat 'flashback' memori beliau–di manakah suara mereka yang mengaku penyokong kuat Anwar kini, khususnya semasa PMX teruk dianiaya dan dizalimi serta dimalukan di tahun-tahun awal reformasi serta tahun-tahun kes dibicarakan di mahkamah. 

Suara bisu

Amat aneh jika suara bisu dahulu kini cuba mengaku sebagai orang kuat PMX.  

Justeru cadangan Ketua Hakim Negara (CJ) Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengkaji kelemahan-kelemahan Akta JAC 2009 amat tepat dan patut diterima dengan berlapang dada oleh semua pihak.

Ia datang daripada seorang yang memegang jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara dan juga menganggotai JAC sendiri. 

Malah CJ adalah orang yang terbaik untuk memberikan pandangan untuk aspek penambahbaikan sistem pelantikan kehakiman yang dimahukan Anwar. 

Kalau ketua hakim negara tidak boleh memberikan pandangan berkaitan JAC, siapa lagi? 

Bekas pemimpin politik seperti Nazri Aziz mungkin tersilap faham sebelum memberi pendapat beliau.  

Kita perlu ingat yang bukan Nazri sahaja penyokong kuat Anwar. Ramai lagi yang menyokong pentadbiran terbaik yang Malaysia ada kini bawah Anwar.

Namun dalam menyokong janganlah menyokong untuk membawa rebah. Kajilah siapa yang mendapat faedah daripada segala kelemahan akta JAC. 

Rakyat tidak lupa bagaimana seorang profesor kangkung yang secara langsung terkait dengan pemimpin-pemimpin politik terdahulu boleh dilantik menganggotai JAC sebelum ini. 

Inilah hasilnya bila tangan JAC terikat dan terpaksa menerima sampah sarap.

Justeru dengan penambahbaikan Akta JAC, perlantikan anggota bukan daripada kehakiman patut diteliti agar dapat dipastikan keanggotaan golongan pengampu tegar pemimpin-pemimpin politik seperti pengampu Najib dan Muhyiddin Yassin tidak lagi dibenarkan menganggotai JAC.  

Sesuai dengan dialog peradaban antarabangsa yang dirasmikan oleh Anwar di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada 15 April lalu, amatlah beradab sekali sekiranya Nazri, bekas duta Malaysia ke Amerika, memohon maaf kepada Tengku Maimun secara terbuka di media.

Ini memandangkan prasangka berkenaan disiarkan juga di media. 

Permohonan maaf ini akan dapat kembali memperkuatkan sokongan semua kepada Anwar yang mungkin sedikit tercalar akibat kenyataan berkenaan.  

Mengimbas betapa hormatnya Abdullah kepada sistem kehakiman, almarhum enggan campur tangan dan membiarkan mahkamah membuat keputusan pada tahun 2004, ketika Anwar dibebaskan daripada tuduhan jahat yang dimulakan di zaman pemerintahan Dr Mahathir.

Malah Abdullah mengarahkan proses penyediaan pasport untuk Anwar dipercepatkan untuk ke luar negara menerima rawatan selepas dibebaskan pada tahun 2004. 

Ini menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penyokong tegar Dr Mahathir yang sebelum ini dilapor media arus perdana berusaha sedaya upaya untuk memastikan Abdullah campur tangan dalam sistem kehakiman untuk memastikan Anwar tidak dibebaskan. 

Hari kemenangan

Sebenarnya pembebasan Anwar adalah hari kemenangan untuk permulaan pemulihan kebebasan kehakiman, ketika pengganti Dr Mahathir enggan mencampuri urusan mahkamah.  

Malah hakim-hakim tinggi negara yang dimalukan di zaman Dr Mahathir dalam krisis kehakiman tahun 1988 dibayar ganti rugi dan pampasan oleh Abdullah.

Almarhum Salleh Abas, lord president, dipecat serta lima hakim Mahkamah Agung turut digantung jawatan di zaman Dr Mahathir sebagai perdana menteri keempat, dibayar dengan bayaran yang setimpal di zaman Abdullah. 

Mudahnya untuk Dr Mahathir menyalahkan tribunal yang membuat tindakan namun jika diadakan siasatan di tahun 2025 terhadap anggota-anggota tribunal berkenaan, Insya-Allah fakta penglibatan Dr Mahathir dalam menzalimi hakim-hakim terbaik negara ketika itu akan terbongkar. 

Dengan pembayaran pampasan serta ganti rugi jutaan ringgit pada zaman itu terbuktilah bahawa Abdullah menghormati sistem kehakiman serta sistem pengasingan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman seperti yang digariskan oleh  Perlembagaan Persekutuan.  

Kini ada lagi seorang hakim mangsa kezaliman yang asyik sakit-sakit, mangsa didakwa diugut secara tidak langsung untuk meletak jawatan sekitar tahun 1996 selepas menjadi pembocor maklumat berkaitan kepincangan serta salah laku dalam sistem kehakiman semasa zaman Dr Mahathir. 

Mangsa yang kini telah tua dan mengalami beberapa penyakit kronik pada kebanyakan masa bergantung kepada rawatan di hospital kerajaan, yang jika dibayar pampasan oleh Kerajaan Madani akan membolehkannya mendapat rawatan hari tua terbaik dalam dan luar negara.  

Mangsa difahamkan telah memulakan proses rayuan di awal penubuhan Kerajaan Madani. Mangsa dipecat pada tahun 1996 secara tidak adil iaitu dengan cara diugut secara tidak langsung untuk meletak jawatan. 

Sepatutnya sebagai seorang yang menjadi pembocor maklumat, mangsa menerima penghargaan tetapi sebaliknya yang berlaku terhadap beliau. 

Mangsa kini masih menunggu ibarat menunggu buah tak jatuh setelah memulakan proses rayuan menerusi saluran sepatutnya sejak hampir setahun yang lepas namun masih tidak selesai mungkin kerana proses birokrasi yang tinggi.

Apa yang berlaku tahun 1996 telah pun berlaku. Cuma yang tinggal ialah bagaimana memperbetulkan keadaan. 

Insya-Allah, Anwar adalah seorang yang amat adil dalam segala aspek dan gabungan kepimpinan negara bawahnya bersama kebijaksanaan para hakim, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dan menteri undang-undang dapat meletakkan kembali keadilan pada tempat yang sepatutnya..

Bersama-samalah menambah baik sistem kehakiman negara tanpa ragu-ragu bawah kerajaan Madani yang kini dihormati begitu banyak negara-negara kuasa besar dunia. 

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Innalillah dan al-Fatihah buat almarhum Pak Lah yang kini bersemadi di Makam Pahlawan, Masjid Negara Kuala Lumpur.  


SYED ISKANDAR SYED JAAFAR AL MAHDZAR berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara di Kuala Lumpur. Dia adalah penerima Anugerah Pelajar Terbaik Diploma Eksekutif Kaunseling Universiti Malaya semasa Konvokesyen ke-59 Universiti Malaya tahun 2021.  

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS