Misi menghantar pegawai perubatan ke Myanmar untuk menyediakan hospital medan yang dijadualkan berlepas semalam, ditangguhkan atas permintaan pihak berkuasa negara berkenaan.
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata kerajaan Myanmar memohon penangguhan itu kerana mereka masih mencari lokasi selamat dan strategik untuk operasi hospital kemanusiaan Malaysia ke negara yang teruk dilanda gempa bumi pada 28 Mac lalu itu.
“Kawasan yang kita (Malaysia) pergi ini adalah kawasan pemberontak dan bahaya.
"Kita akan menghantar ramai pakar bedah serta pasukan perubatan dari Hospital Angkatan Tentera (Tuanku Mizan) ke sana.
“Jadi, keselamatan mereka itu menjadi keutamaan,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau gerak kerja jentera parti itu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Tiga, Tapah hari ini.
Mohamad berkata dia menghubungi rakan sejawatnya, U Than Swe, untuk menyatakan pendirian Malaysia yang tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan rakyat negara ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, misi kemanusiaan yang digerakkan itu tidak bermaksud Malaysia mengiktiraf kerajaan semasa Myanmar, sebaliknya demi membantu rakyat negara terbabit yang berdepan kemusnahan besar.
Pada 15 April lalu Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia akan diatur gerak ke Myanmar pada Rabu.
- Bernama
