Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mempersoalkan tindakan PAS yang didakwa mempolitikkan isu ladang babi di Ayer Kuning, dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai cubaan menutup kelemahan mereka sendiri ketika berada dalam kerajaan negeri sebelum ini.
Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim berkata, walaupun isu itu dibangkitkan oleh Adun Manjoi, Mohd Hafez Sabri semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, namun ia dimainkan dengan pendekatan bersifat perkauman dan tidak bertanggungjawab.

“Semasa PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri antara tahun 2020 hingga 2022, Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria memegang portfolio Exco Pertanian, Perladangan, Industri Makanan dan Sekuriti Makanan — yang secara langsung berkaitan dengan isu penternakan.
“Namun dalam tempoh itu, tiada sebarang pelan tindakan mahupun penyelesaian yang dibentangkan untuk menangani isu ladang babi di Ayer Kuning.
“Tiada pelan pemindahan, tiada penyusunan semula, malah tidak dianggap sebagai keutamaan.
“Sepanjang tempoh itu, boleh dikatakan seekor babi pun tidak diusik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Khairol, PAS kini mengambil sikap hipokrit apabila memainkan isu sama setelah tidak lagi memegang kuasa, dengan menuding jari kepada kerajaan perpaduan.
“Kami menasihati Adun-Adun PAS supaya membuat semakan fakta terlebih dahulu sebelum menyentuh isu-isu sensitif seperti ini. Jangan sampai akhirnya, ludah ke muka sendiri,” katanya.

Amanah Perak turut menyeru semua pihak agar tidak memperalatkan isu kaum dan agama demi kepentingan politik sempit, sebaliknya menekankan kepentingan untuk menangani isu-isu seperti ini secara fakta dan berhemah.
“Rakyat Perak berhak mendapat maklumat tepat dan pemimpin yang berintegriti. Marilah kita bersama menolak politik kebencian dan membina negeri Perak yang harmoni dan sejahtera,” tambahnya.
Isu yang sama dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada kempen pilihan raya kecil Ayer Kuning dengan membangkitkan kebimbangan mengenai jumlah ladang babi di kawasan majoriti Melayu itu.
Mendakwa penduduk membangkitkan isu itu dengan calon PN baru-baru ini, Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata ladang-ladang itu boleh menimbulkan ancaman terhadap alam sekitar dan kesihatan.
