Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi pertahan tindakan pengusiran pengendali lama Menara KL

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mempertahankan tindakan pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk menguatkuasakan pengusiran terhadap bekas pengendali Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), lewat tengah malam tadi.

Bercakap semasa sidang media di Angkasapuri, Kuala Lumpur, Fahmi mengulangi bahawa Menara Kuala Lumpur dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, dan pengurusan konsesi baru telah mengambil alih sejak 1 April lalu.

“Atas sebab-sebab tertentu, ada yang sudah dilaporkan media, ada yang belum, jadi saya mahu beritahu, syarikat lama enggan keluar walaupun konsesi mereka tamat 31 Mac lalu.

“Maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bertindak berdasarkan undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 425 Kanun Tanah Negara untuk memasuki premis Menara KL pada jam 12.30 tengah malam tadi,” katanya pada sidang media.

“Kita telah melalui proses untuk memudahkan kemasukan konsesi baru itu,” tambah Fahmi.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi mengumumkan Menara Kuala Lumpur akan ditutup sementara kepada pengunjung mulai hari ini bagi menguatkuasakan pengambilalihan itu.

Fahmi berkata, penutupan sementara Menara Kuala Lumpur bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, memandangkan terdapat kemudahan dan struktur dalam keadaan tidak baik.

Dia berkata pasukan kementeriannya mengenal pasti keadaan itu semasa lawatan baru-baru ini, serta aduan serupa yang diterima daripada orang ramai.

“Kita lihat sendiri gambar dan video, banyak pekakas di dapur dan kawasan menara berputar yang dulunya ada restoran, tidak dalam keadaan baik. Malah, ada railing di dek pemerhati yang sudah diturunkan. Ini membimbangkan,” katanya.

Justeru, jelas Fahmi, demi keselamatan pengunjung, dia meminta syarikat pengendali baru menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan segera.

“Syarikat baru itu akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengunjung Menara Kuala Lumpur,” tambahnya.

Secara berasingan, peguam yang bertindak untuk MKLSB dan Hydroshoppe Sdn Bhd mengumumkan bahawa mereka telah diarahkan untuk memulakan prosiding komital terhadap pihak yang terlibat dalam pengambilalihan secara paksa ini.

“Kami menggesa kementerian dan Pesuruhjaya Tanah supaya tidak memburukkan lagi keadaan dengan menyerahkan Menara KL kepada LSHSM kerana perkara itu telah pun dirujuk ke mahkamah,” kata surat yang dikeluarkan firma guaman Rosli Dahlan Saravana itu.

Surat bertarikh hari ini ditujukan kepada Fahmi, serta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Azmi Mohd Zain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS