Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Duit raya’ - Akar umbi ingatkan jangan bawa budaya Umno masuk PKR
Diterbitkan:  Apr 17, 2025 11:52 AM
Dikemaskini: 9:00 AM

Seorang anggota akar umbi PKR tampil mengingatkan parti itu supaya tidak membawa budaya Umno ke dalam parti itu.

Mengulas video tular memaparkan Fatin Izzaty Muhammad dengan pemberian wang di tengah pemilihan parti itu, bekas setiausaha PKR cabang Batu, Yuslaini Azmi berkata, ketua Srikandi PKR Batu itu langsung tidak menafikan video tersebut adalah palsu.

Yuslaini Azmi

“Jika benar anda tiada niat memberi rasuah, saya pasti anda orang pertama yang membuat laporan polis kerana ada individu sengaja menabur fitnah terhadap diri anda.

“Tetapi apakah anda melakukan laporan polis atas fitnah jahat tersebut? Tidak bukan?

“Adakah anda mengiyakan perkara itu sebenarnya?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Fatin dilaporkan berkata video tersebut dirakam semasa bulan Ramadan dan dia ketika itu memberi sumbangan wang kepada sejumlah anak muda yang sering dibantunya.

Justeru, katanya lagi, penyebaran video itu sekarang jelas bertujuan untuk memburukkannya.

Terdahulu, tersebar video janji ‘duit raya’ yang menimbulkan kebimbangan berkaitan dakwaan politik wang di tengah pemilihan PKR pada masa ini.

Video yang kelihatan seperti dirakam secara rahsia itu antaranya memaparkan Fatin memberi wang dan meminta mengundi pasukan “YB Praba”, termasuk dirinya dalam pemilihan PKR, 19 April.

Fatin juga berkata duit raya RM100 akan diberikan sebelum mengundi dan RM100 lagi semasa mengundi.

“Kalau kita menang ada jackpot, jangan risau,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Yuslaini berkata, berkata Fatin Izzaty adalah bekas ahli Umno yang juga ketua Puteri Umno Kepong sebelum ini.

“Jadi apakah bantuan yang sering dihulurkan Fatin? Takkan sekadar duit minyak atau duit tambah nilai telefon? Jika berkhidmat kepada masyarakat sudah tentu banyak program menarik yang ditawarkan untuk masyarakat di kawasan Batu bukan sekadar duit minyak atau duit tambah nilai.

“Apa mesej yang ingin beliau sampaikan dengan kenyataan tersebut? Tidakkah anda sedar anda yang membuka pekung anda sendiri,” katanya.

P Prabakaran

Dalam kenyataan itu, Yuslaini juga menyelar Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran yang menafikan penglibatannya dan mendakwa tidak pernah memberikan arahan khusus kepada mana-mana anggota parti berhubung pemberian wang itu.

“Jika benar anda tidak tahu, saya fikir secara moralnya anda automatik sudah menggugurkan calon yang telah memberi imej buruk terhadap pasukan anda tetapi apa yang saya lihat ia sekadar kenyataan media untuk menyelamatkan keadaan sahaja.

“Saya juga ingin beri nasihat pada YB Prabakaran, hargai anggota parti yang setia membantu anda bukannya memberi ruang terhadap orang yang baru masuk parti dengan mencemarkan imej anda selaku ahli politik termuda sejarah tanah air.

“Apakah kita kekurangan anggota PKR sehingga anda menaikkan orang yang baru bertukar parti untuk bertanding dalam pemilihan kali ini? Tepuk dada tanya selera,” katanya.

Sambil mengakui dirinya sebagai anggota PKR yang paling kecewa apabila dilayan seperti itu, Yuslaini berkata, dia berharap apa yang berlaku dijadikan pengajaran oleh semua.

“Jangan ketika susah datang mencari, ketika senang terus dibuang. Kifarah itu sentiasa ada,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS