Seorang pemimpin Bersatu menyifatkan tindakan kerajaan mengusir mengusir pengendali terdahulu Menara Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) sebegai satu “kekerasan”.
Wan Saiful berkata demikian mengulas penutupan sementara Menara Kuala Lumpur bagi pengambilalihan konsesi pengurusan oleh pengendali baru, LSH Service Master Sdn Bhd.
“Perkembangan ini membimbangkan saya kerana ini bukan kali pertama kerajaan menggunakan kuasa secara paksa untuk mengusir kelompok tertentu bagi memberi ruang kepada kelompok lain,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.
“Adakah Malaysia sedang menyaksikan satu trend baru kerakusan kerajaan mempergunakan kuasa dan agensi untuk manfaat kelompok mahakaya terpilih?” soalnya.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi mengumumkan Menara Kuala Lumpur akan ditutup sementara kepada pengunjung mulai hari ini bagi menguatkuasakan pengambilalihan itu.
Kementerian itu menegaskan menara berkenaan adalah milik kerajaan dan operasi, pengurusan dan penyelenggaraannya telah diambil alih oleh LSH Service Master Sdn Bhd sejak 1 April lalu.
Ia turut mendakwa pengendali sebelum ini, MKLSB, telah menduduki premis itu secara haram sejak 31 Mac lalu.
Menurutnya, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.
“Oleh itu, sebarang pengoperasian dan urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB hingga kini adalah tanpa kebenaran kerajaan,” kata kementerian itu.

Sementara itu, Wan Saiful berkata kerajaan seharusnya menyelesaikan sebarang pertikaian mengenai Menara Kuala Lumpur di mahkamah sebelum menutup sementara menara ikonik itu.
“Penutupan Menara Kuala Lumpur adalah tidak wajar kerana ia merupakan mercu tanda penting bagi negara.
“Seharusnya kerajaan membenarkan perkara ini diselesaikan terlebih dahulu oleh mahkamah,” katanya.
Menara Kuala Lumpur pada asalnya dikendalikan oleh MKLSB, yang pada permulaannya, dimiliki sepenuhnya oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).
Ia merupakan pengendali tunggal Menara Kuala Lumpur sejak 1996 di bawah kontrak konsesi daripada kerajaan, yang diperbaharui setiap 15 tahun.
Bagaimanapun, pada penghujung 2022, TM menjual semua pegangannya dalam MKLSB kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.
Apabila pentadbiran Madani berkuasa, ia terus menamatkan konsesi MKLSB dan membuka permintaan untuk cadangan.
Pada Mei tahun lalu, konsesi itu telah dianugerahkan kepada LSH Service Master - yang merupakan syarikat usaha sama antara dua syarikat, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Hydroshoppe dan MKLSB telah menyaman kerajaan sebanyak RM1 bilion berhubung dakwaan penamatan konsesi mereka secara salah.
Pada 8 April, The Edge melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan MKLSB dan Hydroshoppe untuk injunksi interim untuk menghentikan pemberian konsesi Menara Kuala Lumpur kepada LSH Service Master.
Bagaimanapun, hakim berkata kedua-dua syarikat itu boleh terus mendapatkan remedi daripada perbicaraan untuk tuntutan mereka, yang akan didengar dan diputuskan oleh mahkamah.
