Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semak Fakta: Ada akhbar lain papar Jalur Gemilang secara salah?
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 9:11 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Akhbar Sin Chew Daily dihujani kecaman semalam selepas halaman muka depannya memaparkan bendera Malaysia tanpa bulan sabit, yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan.

Sementara akhbar tersebut sedang disoal siasat berhubung apa yang didakwanya sebagai “kesilapan teknikal”, sebuah lagi akhbar harian berbahasa Cina – Kwong Wah Yit Poh – turut menerima kritikan ramai.

Ia selepas Kwong Wah menyiarkan imej di internet yang memaparkan muka depan edisi petang semalam. Ia menunjukkan gambar Jalur Gemilang – juga tanpa lambang bulan sabit kelihatan. Imej itu telah dipadam.

Tangkap layar imej itu tular di media sosial, dengan ramai yang membandingkannya dengan kesilapan yang dilakukan oleh Sin Chew.

Muka depan Kwong Wah memaparkan dua berita utama untuk hari ini, salah satunya mengenai pengebumian negara untuk bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Imej yang mencetuskan kontroversi itu digunakan untuk artikelnya mengenai lawatan selama tiga hari Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Difahamkan gambar yang digunakan oleh Kwong Wah diambil dari papan iklan elektronik di kompleks beli belah Fahrenheit 88 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Satu lagi gambar yang turut beredar di media sosial, yang dipercayai merupakan imej asal yang digunakan di muka depan Kwong Wah, menunjukkan sebahagian lambang bulan sabit kuning di penjuru iklan.

Namun dalam paparan di muka depan akhbar berkenaan, bahagian tersebut telah ditutup oleh teks yang bermaksud “Pengerusi Xi”, yang merupakan sebahagian daripada tajuk utama yang lebih panjang iaitu “Pengerusi Xi, Malaysia mengalu-alukan anda”.

Malaysiakini telah menghubungi Kwong Wah untuk mendapatkan maklum balas.

Selain siasatan terhadap Sin Chew, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan siasatan juga sedang dijalankan terhadap Kwong Wah berhubung perkara ini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS