Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM: Malaysia, China kukuhkan hubungan ekonomi, perdagangan dan AI
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 8:20 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Malaysia komited untuk bekerjasama dengan China dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama merangkumi ekonomi, perdagangan dan pelaburan, serta teknologi baru termasuk Kecedasan Buatan (AI), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Malaysia melihat China bukan sahaja sebagai rakan karib dan negara jiran, tetapi juga sebagai rakan kongsi penting melalui perkongsian strategik komprehensif yang mencerminkan kepercayaan mendalam dan kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

"Apabila kita bertemu di China (2023), (Presiden) Xi (Jinping) dilihat menampilkan pesona baru, kepimpinan yang bercakap mengenai pertumbuhan dan pelaburan serta kemajuan ekonomi dan menangani kemiskinan dan ia terbukti," katanya ketika menyampaikan ucapan sebelum bermulanya mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara, di Putrajaya hari ini.

Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Xi dan delegasinya yang tiba di kediaman rasmi perdana menteri pada 5.05 petang disambut mesra oleh Anwar. Kehadiran presiden China itu turut disambut dengan persembahan kebudayaan oleh Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Xi kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum meneruskan mesyuarat dua hala tertutup.

Anwar berkata wawasan Xi untuk berkongsi kemakmuran dan kemajuan tamadun adalah penting kerana cita-cita itu jarang diutarakan oleh pemimpin-pemimpin dunia.

"Kami mengagumi keazaman anda, dan untuk itu rakyat Malaysia mengalu-alukan anda, bukan hanya sebagai presiden sebuah negara besar, tetapi juga sebagai sahabat sejati.

"Kami akan bekerjasama dalam pelbagai bidang usaha, dalam ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknologi baru termasuk inisiatif AI dan semua kaedah berkaitan yang telah kami bincangkan selama bertahun-tahun lamanya.

"Xie Xie atas kepimpinan dan persahabatan anda," katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Menteri Kabinet lain yang hadir ialah Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir.

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas. 

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS