Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor cuba menutup mulut wakil rakyat pembangkang berhubung isu skandal rasuah negeri itu, dakwa Adun Sekong Alias Sani yang mewakili Warisan.
Katanya pendedah maklumat skandal rasuah Sabah itu mungkin masih menyimpan bukti lebih memburukkan yang belum didedahkan.
“Hajiji Noor memperlakukan Adun pembangkang sebagai bodoh, cuba tutup mulut kami. Tindakan yang kejinya adalah satu penghinaan kepada kami dan turut mencemarkan serta menyalahgunakan dewan yang mulia ini.
"Tujuan saya mengemukakan pertanyaan di atas kerana menurut kenyataan peguam veteran, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 5 Februari 2025 berkata bahawa anak guamnya “pemberi maklumat” memiliki banyak video dan tangkap layar WhatsApp yang belum didedahkan,” katanya.

Dakwa Alias (gambar atas), penolakan soalan berkenaan telah mencemarkan kemuliaan institusi dewan.
“Oleh yang demikian, rakyat Sabah menggesa Ketua Menteri, Hajiji Noor memberi penjelasan secara terperinci di dalam sidang dewan yang sedang berlangsung berhubung siapa lagi ADUN dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terlibat skandal rasuah.
"Setakat ini, termasuk Speaker DUN, jumlah 9 orang “yang berhormat” didedahkan terlibat dengan kegiatan rasuah yang terbesar dalam sejarah Sabah, kami tidak tahulah berapa ramai lagi YB yang terlibat tetapi belum didedahkan.
"Rakyat Sabah sangat bimbang tiba-tiba tular lagi video rasuah baru, keadaan semasa amat merunsingkan masyarakat Sabah. Gara-gara skandal rasuah ini berlaku, rakyat Sabah telah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada Kerajaan GRS,” katanya.

Pendedah maklumat dalam kes ini seorang ahli perniagaan yang mendakwa telah memberi rasuah sebagai balasan untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Namun begitu, individu itu sendiri turut menjadi subjek siasatan kerana dikatakan sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli lesen perlombongan di Sabah.
Alias: Syarikat Indonesia terbabit?
Alias turut menuntut Hajiji menjelaskan sama ada beliau telah meluluskan kelulusan awal bagi penerokaan mineral arang batu kepada sebuah syarikat dari Indonesia yang dikaitkan dengan seorang hartawan bilionair.
“Jika Hajiji Noor benar-benar telah memberikan lima kelulusan awal tersebut, bermakna kandungan di dalam laporan yang menular adalah benar.

“Pihak berkuasa harus menjalankan siasatan segera, tindakan undang-undang yang sewajarnya perlu diambil terhadap Hajiji Noor serta orang yang terlibat.
"Isu-isu yang amat mustahak ini perlu dinyatakan secara jelas oleh Hajiji Noor di dalam sidang dewan, rakyat Sabah sedang menunggu jawapan daripadanya.
"Saya ingin menegaskan bahawa segala sumber mineral di Sabah bukan milik Hajiji Noor dan kroninya, kekayaan mineral di Sabah adalah hak milik seluruh rakyat Sabah,” katanya lagi.
