Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shigeru Ishiba mengenai pelbagai perkara termasuk tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) dan kesannya kepada ekonomi dunia.
“Saya tegaskan bahawa Malaysia telah mengadakan perbincangan bersama pimpinan negara Asean selain menyatakan kesepakatan dan kebersamaan untuk meneruskan rundingan dengan AS mengenai perkara ini.
“Malaysia juga menyatakan penghargaan atas hasrat dan minat Jepun untuk bersama dalam membangunkan rangkaian Asean Power Grid,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, mereka juga membincangkan mengenai masa depan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Ruangan sama turut kami sentuh mengenai perkembangan kerjasama dua hala Malaysia-Jepun antaranya mengenai pembangunan sektor tenaga baharu, hidrogen membabitkan Petronas dan kerajaan negeri Sarawak.
“Kami juga membincangkan soal bencana gempa bumi di Myanmar yang mana Malaysia sampaikan ucapan takziah kepada PM Ishiba atas kehilangan nyawa rakyat Jepun dalam tragedi tempoh hari.

“Malaysia menghargai usaha Jepun yang turut sama menyalurkan sumbangan bagi membantu pembangunan semula negara berkenaan,” katanya.
Menurut Anwar, hubungan Malaysia-Jepun akan terus terjalin kukuh berteraskan hormat, kepercayaan serta komitmen jangka panjang kedua-dua negara dalam pelbagai bidang strategik.
Perbincangan bersama Shigeru menerusi perbualan telefon itu diadakan selepas tamat istiadat sambutan negara sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke negara ini.
