Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon PN tak dihukum jabatan mufti, bukti tiada salah - MP

Ketiadaan tindakan daripada Jabatan Mufti Perak terhadap dakwaan ke atas calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Ayer Kuning dianggap sebagai bukti tiada salah laku, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki.

Misbahul berkata sekiranya calon PN, Abd Muhaimin Malek benar-benar melanggar peraturan, pihak berkuasa agama itu sudah pasti mengambil tindakan lebih awal.

"Kalau memang dia ajar tanpa tauliah, lama dah Jabatan Mufti ambil tindakan, ini langsung tak ambik tindakan pun," katanya pada sidang media di pusat operasi PN di Bidor, Perak.

Dia menjawab dakwaan berterusan yang menuduh Muhaimin menipu pihak berkuasa agama negeri untuk mendapatkan tauliah mengajar dan berceramah agama.

Misbahul yang juga pengarah pilihan raya PN untuk PRK ini berkata permohonan pembaharuan tauliah oleh Muhaimin tidak menimbulkan sebarang isu namun dia tidak pasti tarikh sebenar permohonan itu dibuat dan diluluskan.

Menurutnya, Jabatan Mufti juga telah menasihatkan Muhaimin supaya menghentikan ceramah di masjid dan surau, satu langkah yang dipatuhi calon berkenaan.

‘Terima kasih’ bantu perkenal calon PN

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi Azhar (gambar bawah) yang turut hadir sidang media hari ini secara sindiran mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terus membangkitkan isu tersebut, kerana menurutnya ia membantu menaikkan profil Muhaimin.

Nadzir berkata dakwaan tersebut menarik perhatian rakan-rakan Muhaimin, termasuk tokoh agama terkenal, yang kemudiannya tampil memberi sokongan terbuka terhadap kelayakan Muhaimin sebagai seorang ustaz.

"Secara automatik, terima kasih kepada yang provoke, walaupun politik murahan tapi rakan-rakannya buat posting (di media sosial) iktiraf keilmuan, calon takkan sebut sebab itu sifat orang agama.

"Macam tak ada kerja sangat (pertikai isu tauliah agama calon PN), dia ambil isu ni sebagai kerja, bantu kami," katanya sinis.

Jurucakap polis Perak, Zaharudin Rasip semalam mengesahkan Muhaimin mempunyai tauliah sah untuk mengajar agama.

Katanya, kes tersebut kini dirujuk kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan polis tidak akan meneruskan siasatan.

Sehingga kini, Muhaimin masih belum memberikan sebarang komen langsung berkenaan isu ini, sebaliknya hanya menyatakan PN akan memberi penjelasan “jika sampai masanya”.

Sebelum ini, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi membangkitkan kebimbangan bahawa Muhaimin telah memperdaya pihak berkuasa agama negeri untuk mendapatkan tauliah sebagai ustaz.

Bekas Adun Manjoi itu berkata berdasarkan peraturan semasa, mereka yang memegang jawatan politik atau bertanding dalam pilihan raya tidak boleh memiliki tauliah, yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti dengan kelulusan Sultan Perak.

Muhaimin merupakan salah seorang calon dalam pertandingan tiga penjuru bagi kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Tapah.

Pencabarnya ialah Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS dan Setiausaha Umno Tapah, Yusri Bakir.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS