Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga Teoh jawab polis: Kerjasama apa lagi diperlukan dari kami?
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Keluarga Teoh Beng Hock hari ini mengecam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain kerana mendakwa mereka tidak memberi kerjasama dalam siasatan polis berhubung kematian mendiang.

Kakak Beng Hock, Lee Lan berkata dakwaan itu tidak berasas dan berniat jahat ke atas keluarganya.

Dia mendakwa Suhaily cuba mengelirukan orang ramai dan mengalihkan kesalahan daripada pihak berkuasa.

“Kami mengecam polis kerana memfitnah keluarga kami dengan dakwaan palsu berhubung tidak memberi kerjasama, bagi menutup kesan daripada kesilapan asas mereka dalam menggunakan Seksyen 342 Kanun Keseksaan (pengurungan salah) dan tidak menanggapinya sebagai kes bunuh.

“Ini hanyalah cubaan memalukan untuk lari dari tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Lee Lan menjawab kenyataan Shuhaily ketika sidang media semalam, di mana dia antaranya berkata keluarga mendiang tidak memberi kerjasama yang baik untuk “memperkemaskan kertas siasatan”.

Mohd Shuhaily Mohd Zain

“Ini ialah siasatan yang terhad dari sudut sumber kerana kes telah berlaku 15 tahun lepas dan ada juga saksi yang tidak dapat kita temu bual semula.

“Kita juga memanggil pihak keluarga (namun) mereka tidak memberikan kerjasama yang baik untuk memperkemaskan kertas siasatan ini,” katanya

Sudah banyak kenyataan diberikan

Lee Lan berkata keluarganya telah memberi banyak keterangan sejak kematian Beng Hock pada 2009.

Katanya, ia termasuklah soal siasat di balai polis Kajang, keterangan di mahkamah serta penilaian psikologi oleh pakar yang dilantik kerajaan.

Katanya, semua keterangan dan kenyataan mereka direkodkan dan polis yang menjalankan siasatan ada akses untuk menelitinya.

"Shuhaily - kerjasama apa lagi yang anda perlukan daripada kami?

“Dengan enam siasatan polis dibuat sepanjang 16 tahun, kenapa ‘kekurangan kerjasama’ kami hanya dibangkitkan sekarang sebagai alasan?” soal Lee Lan.

Pada Februari lalu, keluarga Beng Hock memberitahu polis agar mengarahkan siasatan ke arah yang betul serta membangkitkan 10 isu yang belum selesai.

Keluarga mendiang mengkritik polis kerana berulang kali menyoal siasat mereka, bukannya menyiasat pegawai SPRM yang dikaitkan dengan kes itu.

Beng Hock, yang menjadi pembantu Adun Seri Kembangan ketika itu Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas sesi soal siasat semalaman di SPRM Selangor, yang ketika itu beribu pejabat di Plaza Masalam, Shah Alam.

Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun 2011 memutuskan dia didorong untuk membunuh diri akibat soal siasat yang agresif. Namun, pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan melanggar undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM.

Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis untuk menyelesaikan siasatan terhadap kematiannya dalam tempoh enam bulan selepas hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan pihak keluarga.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS