ADS
mk-logo
Berita
Jalur Gemilang tanpa bulan sabit tidak boleh diterima - Agong
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 4:28 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, bahawa bendera adalah lambang kedaulatan negara yang tidak boleh dipersendakan.

Menerusi satu kenyataan yan g disiarkan di Facebook, baginda menegaskan bendera adalah identiti sesebuah negara dan bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Seri Paduka Baginda hari ini.

ADS

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Akhbar Sin Chew Daily semalam menerbitkan ilustrasi muka depan jong yang mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena dengan lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara itu.

Bagaimanapun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak mempunyai bulan sabit.

Dalam permohonan maaf yang diterbitkan semalam, Sin Chew memohon maaf atas "kesilapan teknikal" tersebut. Sambil menzahirkan rasa kesal, mereka juga menyusun jari sepuluh memohon jutaan maaf kepada semua rakyat.

ADS

Ia kemudian membetulkan ilustrasi di versi digital dan menerbitkan semula ilustrasi yang diperbetulkan dalam edisi cetakannya hari ini.

Bendera Malaysia terdiri daripada garisan 14 jalur merah dan putih berselang-seli dan lambang bulan sabit dan bintang 14 mata yang dikenali sebagai bintang Persekutuan.

14 jalur, dengan lebar yang sama, mewakili status yang sama dalam persekutuan 13 negara anggota dan wilayah persekutuan, manakala 14 titik bintang mewakili perpaduan antara entiti ini.

Bulan sabit pula mewakili agama Islam sebagai agama persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS